RTM tiada masalah siar debat, Khairy, Ku Li, Zahid


Asila Jalil

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan membawa perkara mengenai perdebatan bagi calon presiden Umno kepada pihak RTM apabila ia sudah diputuskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2018

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) tiada masalah untuk menyiarkan debat antara calon presiden Umno, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Gobind berkata beliau akan membawa perkara itu kepada RTM jika perlu apabila acara itu sudah disahkan.

“Tiada masalah jika mereka ingin berdebat. Terserah kepada Khairy atau Zahid jika mereka mahu menerima cabarannya.

“Dan jika perlu, saya akan membawa perkara itu kepada perhatian RTM supaya ia disiarkan,” katanya merujuk kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya hari ini.

Dalam temu bual dengan Awani malam tadi, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata beliau bersedia mengadakan perdebatan terbuka dengan Zahid dan Khairy - dua calon lain bagi jawatan tertinggi Umno dan mencabar semua calon dalam pemilihan parti berbuat perkara yang sama.

Khairy kemudian berkata beliau gembira dapat berdebat dengan dua lawan utamanya untuk jawatan tertinggi.

Khairy yang juga bekas menteri belia dan sukan berkata beliau bersedia mengisytiharkan asetnya menjelang pemilihan parti.

Pada Sabtu, Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li mengumumkan pencalonannya selepas membuatkan ahli parti meneka selama berminggu lamanya.

Kurang 24 jam selepas itu, Khairy yang pada mulanya berkata ingin bertanding jawatan naib presiden mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan akan bertanding jawatan tertinggi itu.

Pemilihan parti dijadualkan pada 30 Jun dan empat calon lain untuk jawatan presiden masih belum diumumkan. – 20 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen