Kabinet tubuh jawatankuasa siasat isu monopoli


Radzi Razak

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad ketika bercakap pada sidang media yang diadakan di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Jun, 2018

KABINET menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji isu monopoli melibatkan beberapa kementerian termasuk kontroversi monopoli ubat kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Tambahnya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan agar jawatankuasa itu dipengerusikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Jawatankuasa itu juga dianggotai Menteri Pertanian Salahuddin Ayub dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke kerana keempat-empat kementerian tersebut mempunyai masalah isu monopoli sebegini, kata Dr Dzulkefly.

“Kajian menyeluruh tentang polisi monopoli ini supaya dapat dirumuskan pendekatan paling baik untuk mendapatkan nilai untuk perbelanjaan dan mengelak apa yang dianggap sebagai menambah kos,” katanya.

Dzulkefly berkata jawatankuasa ini akan bermesyuarat dalam masa terdekat dan semua kementerian akan mengubah polisi mengikut rumusan kajian mereka. 

“Kita akan bermula dalam waktu terdekat. Tun mahukan perkara itu bergerak segera. Monopoli yang dikaji seperti Petronas, Bernas dan lain-lain,” kata Dr Dzulkefly lagi kepada pemberita di Putrajaya. 

Pengumuman itu dibuat susulan satu laporan media minggu lalu yang mendakwa sebuah syarikat dikaitkan dengan ahli politik yang rapat dengan kerajaan dulu mengawal bekalan ubat bernilai berbilion ringgit.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, monopoli yang dimiliki syarikat itu mungkin menjadi punca peningkatan kos ubat-ubatan yang dibekalkan ke hospital dan klinik kerajaan seluruh negara.

Mengulas perkara itu, Dr Dzulkefly berkata beliau tidak mahu mengeluarkan kenyataan sebelum kajian kabinet dilakukan. 

Beliau juga sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya mereka mahu mendapatkan maklumat mengenai perkara tersebut, tambahnya.

Menurut beliau jawatankuasa itu antara lain akan mengkaji perkara yang turut melibatkan isu dasar seperti peruntukan Bumiputera

“Isu monopoli ini ada menyangkut juga perkara polisi tentang peruntukan Bumiputera dan sebagainya. Ini adalah dalam kajian. 

“Saya tak boleh memberi apa-apa telahan atau unjuran terlebih dahulu cuma kita akan lakukan kajian menyeluruh dahulu sebelum merumuskan satu polisi,” katanya kepada pemberita.

Dzulkefly pada minggu lalu mendedahkan, perbelanjaan kementerian untuk ubat-ubatan dan barang-barang guna habis ialah sekitar RM3.3 bilion.

Menurut beliau kira-kira 33.4 peratus atau RM1.1 bilion daripada perbelanjaan farmaseutikal kementerian adalah dari syarikat konsesi, manakala 66.6 peratus atau RM2.2 bilion adalah pembelian oleh kemudahan melalui kontrak atau sebut harga pusat. – 20 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen