Lebih 5.2 juta pelarian Afghanistan pulang sejak 16 tahun lalu


Beberapa orang kanak-kanak perempuan pelarian Afghanistan meninggalkan sekolah mereka di kem pelarian di pinggir Islamabad pada 1 Februari 2018. Hampir 1.4 juta pelarian Afghanistan berada di Pakistan. – Gambar AFP, 20 Jun, 2018.

SEJAK 16 tahun lalu, lebih 5.2 juta pelarian Afghanistan pulang ke negara yang bergolak itu, lapor agensi berita Xinhua, memetik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Hari Pelarian Sedunia yang jatuh pada 20 Jun.

Menteri Hal Ehwal Pelarian dan Repatriasi Afghanistan, Sayed Hussain Alemi Balkhi berkata, kira-kira enam juta rakyat Afghanistan hidup sebagai pelarian.

Daripada jumlah itu, kira-kira 2.5 juta berada di Pakistan dan Iran, manakala selebihnya di beberapa negara lain.

Beliau berkata sejak Januari tahun ini, kira-kira 332,000 pelarian Afghanistan kembali ke rumah mereka, kebanyakannya dari Iran dan Pakistan.

Menurut UNHCR “kekurangan akses kepada perkhidmatan termasuk pendidikan, kesihatan, perumahan dan tanah, kekal menjadi cabaran utama kepada pelarian yang kembali untuk membina semula kehidupan “.

Justeru, kerajaan Afghanistan dan masyarakat antarabangsa digesa untuk terus memberikan sokongan, menawarkan peluang ekonomi, perkhidmatan asas dan melibatkan mereka dalam struktur politik serta sosial. – Bernama, 20 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen