HAMPIR 180 penumpang masih hilang selepas sebuah feri karam di dalam tasik gunung berapi di Danau Toba, Sumatera, Indonesia.
Ia hampir tiga kali ganda daripada jumlah yang dianggarkan tetapi agensi mencari dan menyelamat berkata masih tidak jelas berapa orang sebenarnya menaiki feri itu ketika ia tenggelam.
Kapal kayu itu karam pada Isnin, di kawasan tumpuan pelancong dipercayai beroperasi secara haram, dengan tanpa senarai penumpang atau tiket.
Keadaan itu mencetuskan kekeliruan – dan perbezaan anggaran jumlah mangsa daripada pelbagai agensi – berkenaan berapa ramai penumpang ketika kejadian.
Agensi bencana Indonesia, berbeza dengan jabatan mencari dan menyelamat pada mulanya berkata kira-kira 80 penumpang menaiki feri itu bersama berpuluh-puluh motosikal ketika ia terbalik dan karam.
Polis dalam satu kenyataan berkata terdapat kira-kira 178 orang hilang, yang jika benar akan menjadi salah satu bencana maritim terburuk di Indonesia.
Anggaran jumlah itu berdasarkan kepada laporan kehilangan yang dibuat oleh penduduk tempatan yang mereka percaya menjadi penumpang feri berkenaan.
“Tetapi ramai yang naik feri itu tanpa tiket, jadi tidak tahu jumlah sebenar berapa ramai penumpangnya,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat, Muhammad Syaugi.
Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga mayat ditemui dan 18 lagi diselamatkan, menurut agensi bencana tempatan, ketika usaha menyelamat kini bertukar kepada mencari mayat mangsa – termasuk yang masih terperangkap di dalam feri.
Agensi mencari dan menyelamat berkata operasi itu akan berterusan untuk sekurang-kurangnya seminggu berdasarkan kepada keluasan tasik itu yang terbentuk dipercayai akibat letusan gunung berapi ribuan tahun lalu.
Danau Toba antara tasik paling dalam di dunia meliputi kira-kira 1,145 km persegi. – AFP, 20 Jun, 2018.
Komen