Saya akan teruskan kecemerlangan pentadbiran Azmin, kata Amirudin


Radzi Razak

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta kerjasama semua exco kerajaan negeri untuk bersamanya meneruskan kecemerlangan pentadbiran negeri selama ini. – Gambar Pejabat Menteri Besar Selangor, 20 Jun, 2018.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan pentadbiran dan polisi teraju terdahulu,  Azmin Ali dalam pembangunan Selangor.

Dalam ucapan sulungnya selepas memasuki Pejabat Menteri Besar hari ini, Amirudin berkata pentadbirannya akan memastikan polisi peduli rakyat yang dilaksanakan Azmin sehingga membawa gelombang perubahan besar manfaat untuk rakyat negeri itu diteruskan.

“Saya berikrar untuk memastikan kesinambungan pentadbiran yang cemerlang dan melonjakkan Negeri Selangor ke tahap seterusnya demi membangun bangsa dan memakmur negeri.

No man is an island. Mengemudi pentadbiran negeri tentunya memerlukan kerjasama semua pihak dan teamwork yang berpaksikan esprit de corps yang utuh dan dinamik.

“Justeru, saya akan menggembleng kerjasama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta seluruh anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor demi merealisasikan segala dasar dan inisiatif berpaksi prinsip peduli rakyat,” katanya.

Amirudin berkata, pentadbiran negeri akan memberi keutamaan isu perumahan rakyat, perkhidmatan kesihatan yang bersepadu, sistem pengangkutan yang berkesan, kelestarian alam sekitar dan peluang pekerjaan yang berkualiti, sama seperti pentadbiran Azmin selama 3 tahun 8 bulan sebelum ini.

Amirudin tiba di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah jam 7.55 pagi untuk memulakan tugas hari pertama sebagai menteri besar Selangor ke-16 diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Mohd Amin Ahmad Ahya dan barisan Exco Kerajaan Negeri antaranya Teng Chang Khim, Haniza Talha, Abdul Rashid Asari dan Hee Loy Sian.

Amirudin semalam mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu menggantikan Azmin yang dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi kerajaan persekutuan. – 20 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen