PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-un mengisytiharkan persahabatan, perpaduan dan kerjasama tidak berbelah bahagi dengan China menerusi lawatan ketiganya ke negara itu tahun ini, sekali gus membuktikan kesetiaan terhadap sekutunya itu selepas pertemuan bersejarah dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Lawatan dua hari berakhir hari ini itu diadakan khas bagi meyakinkan Beijing bahawa Pyongyang tidak akan pernah meminggirkan mereka walaupun hubungan diplomatik mungkin termeterai bersama AS.
ia juga sebahagian daripada usaha Kim yang berusaha menyeimbangkan semua perkara membabitkan kepentingan China dan AS sambil pada masa sama, mengekalkan hubungan erat bersama Beijing, iaitu penaung Korea Utara daripada aspek ekonomi serta pelindung dari sudut diplomatik.
China dan AS kedua-duanya berharap untuk melihat semenanjung Korea bebas dari penggunaan senjata nuklear namun Beijing khuatir Pyongyang serta Washington mungkin menjalinkan hubungan lebih rapat dalam diam, satu kemungkinan yang dilihat China sebagai ancaman terhadap ekonomi dan keselamatan serantau.
China tidak hadir pada sidang kemuncak antara AS dan Korea Utara di Singapura 12 Jun lalu, namun Kim mengambil inisiatif untuk melawat negara itu, satu petunjuk jelas bahawa gergasi Asia berkenaan kekal sebagai satu kuasa berpengaruh dalam gerakan diplomatik.
Sekutu era Perang Dingin itu yang bekerjasama menentang pasukan AS dan Korea Selatan dalam Perang Korea 1050 - 1953 saling berusaha memperbaiki hubungan masing-masing selepas agak tegang susulan ujian nuklear oleh Pyongyang dan sokongan Beijing terhadap sekatan dikenakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jong Un memilih Beijing untuk melakukan lawatan rasmi pertama ke luar negara pada Mac lalu dan sekali lagi mengadakan pertemuan bersama Xi Jinping bulan berikutnya di bandar pelabuhan Dalian, barat laut China.
Agenda pertemuan Kim kali ini tidak didedahkan kepada umum dan wakil media melihat konvoi kenderaan meninggalkan rumah tamu Diaoyutai di Beijing, namun destinasi sebenarnya tidak diketahui. – AFP, 20 Jun, 2018.
Komen