KESATUAN Eropah (EU) menambah setahun lagi sekatan yang dikenakan kerana tindakan Rusia yang merampas Crimea dari Ukraine, yang didakwa kesatuan itu melanggar undang-undang.
Sekatan Crimea itu menghalang beberapa eksport dan import serta pelaburan dan perkhidmatan perlancongan disediakan di kawasan itu oleh syarikat berpangkalan di EU.
“Majlis (ahli negara) melanjutkan tindakan sekatan sebagai tindak balas kepada rampasan haram Crimea dan Sevastopol oleh Rusia sehingga 23 Jun 2018,” kata satu kenyataan hari ini.
“EU terus mengecam rampasan haram Crimea dan Sevastopol oleh Kesatuan Rusia dan kekal komited untuk melaksanakan dasar tidak iktiraf sepenuhnya,” kata kenyataan majlis itu.
Sekatan itu dikenakan apabila rampasan Crimea berlaku pada Mac 2014 ketika krisis Ukraine bertambah tegang dengan tindakan pemberontak pro kerajaan Moscow.
Usaha untuk menyelesaikan konflik itu seringkali gagal, dengan jumlah kematian meningkat melebihi 10,000 orang.
EU berkeras yang Rusia perlu bertanggungjawab kerana menyokong pemberontak tetapi Moscow berkata Brussels bersalah kerana menyokong dan membantu menyingkirkan kerajaan sah di Kiev.
Selain sekatan Crimea, EU juga mengenakan sekatan ekonomi ke atas Rusia kerana menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines, MH 17 pada Julai 2014. EU menyalahkan pemberontak kerana menyebabkan tragedi itu.
EU melanjutkan sekatan itu untuk enam bulan lagi pada Disember dan mereka dijangka akan melanjutkan sekali lagi pada Julai.
Pada Mac lepas, 28 negara kesatuan itu juga melanjutkan pembekuan aset dan perjalanan untuk enam bulan lagi ke atas pemimpin Ukraine dan Rusia yang didakwa bertanggungjawab menyokong pemberontakan itu. – AFP, 19 Jun, 2017.
Komen