Pyongyang akan hantar pulang mayat tentera AS


Korea Utara dan Amerika Syarikat menerusi pemimpinnya, Kim Jong-un dan Donald Trump mengadakan pertemuan bersejarah di sidang kemuncak di Singapura pertengahan awal bulan ini. – Gambar AFP, 20 Jun, 2018.

KOREA Utara bakal memulangkan 200 set pertama mayat tentera Amerika Syarikat (AS) yang terkorban ketika Perang Korea, selepas perjanjian persetujuan dicapai antara Kim Jong-un dan Donald Trump minggu lalu, kata pegawai rasmi AS.

“Persiapan diteruskan” untuk menerima mayat berkenaan, kata sumber AS dan ia boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari lagi.

Pemimpin AS dan Korea Utara bersetuju melakukan penghantaran pulang itu ketika pertemuan bersejarah mereka 12 Jun lalu di sidang kemuncak di Singapura.

“Pegawai Korea Utara sebelum ini mengatakan mereka memiliki sebanyak 200 set mayat yang ditemui sejak bertahun-tahun lalu,” kata Pentagon dalam laporan berkenaan anggota yang hilang ketika menyertai Perang Korea pada 1950-1953.

“Komitmen itu termeterai dalam kenyataan bersama antara Presiden Trump dan Pengerusi Kim akan menghantar pulang semuanya itu seperti dilakukan pada awal 1990-an dan akan menekankan semula aspek kemanusiaan dalam misi itu.”

Lebih 35,000 rakyat Amerika terbunuh di Korea ketika perang itu, yang berakhir dengan gencatan senjata, tanpa perjanjian perdamaian.

Daripada jumlah itu, 7,700 masih hilang termasuk 5,300 di Korea Utara, kata Pentagon.

Antara 1990 dan 2005, AS menerima penghantaran pulang 229 set mayat dari Korea Utara di bawah perjanjian awal dan ia kemudiannya dihentikan sementara apabila hubungan antara kedua-dua negara merosot. – 20 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen