AMERIKA Syarikat menarik diri dari Majlis Hak Asasi PBB pada Selasa, menyelar “hipokrasi” ahli yang “berat sebelah” terhadap Israel.
Duta AS ke PBB, Nikki Haley datang ke Washington untuk mengumumkan keputusan itu bersama-sama orang kanan Presiden Donald Trump, Setiausaha Negara Mike Pompeo.
Kedua-duanya bertegas yang AS akan kekal menerajui perjuangan hak asasi, tetapi untuk banyak pihak keputusan itu mencerminkan sikap tidak tolak ansur pentadbiran Trump kepada badan dunia dan diplomasi antarabangsa.
Pengumuman itu dibuat selepas pegawai kanan hak asasi PBB mengecam Washington kerana memisahkan anak-anak imigran daripada ibu bapa mereka yang mencari suaka perlindungan selepas melintasi sempadan dari Mexico.
Tetapi Haley dan Pompeo menekankan yang keputusan itu dibuat selepas setahun usaha mereka mendesak perubahan dalam majlis dan menyingkirkan negara majlis yang melakukan pelanggaran hak asasi.
“Perubahan diperlukan bagi menjadikan majlis menjadi pejuang sebenar hak asasi,” kata Haley.
“Sejak sekian lama, Majlis Hak Asasi menjadi pelindung pelanggar hak asasi, dan jadi badan penuh bias politik. Paling dikesali, desakan kami untuk perubahan tidak kemana-mana.”
Badan berpusat di Geneva itu ditubuhkan pada 2006 untuk mempromosi dan melindungi hak asasi seluruh dunia, tetapi pengumuman dan laporannya seringkali bertentangan dengan keutamaan AS.
Terutama sekali, tumpuan majlis kepada tindakan Israel kepada Palestin di Tebing Barat dan Gaza yang menimbulkan kemarahan Washington.
Tetapi, Haley menekankan, Washington percaya majlis tidak berbuat apa-apa dalam mengecam pelanggaran hak asasi dilakukan negara seperti Venezuela dan Cuba.
“Negara bertelagah sesama sendiri untuk memperlekeh kaedah semasa memilih ahli majlis,” kata Pompeo.
“Tindakan dan bias majlis terhadap Israel sama sekali tidak berasas,” katanya.
“Sejak penubuhannya, majlis mengeluarkan resolusi mengecam Israel lebih banyak berbanding semua resolusi mengecam negara dunia lain.”
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengalu-alukan keputusan AS, menggelarkan majlis “bias, kejam, organisasi anti-Israel yang mengkhianati misinya untuk melindungi hak asasi.” – AFP, 20 Jun, 2018.
Komen