Rusia gagah di tempat sendiri, Jepun dan Senegal buat kejutan


Penyokong Rusia meraikan kemenenangan pasukan tuan rumah yang membenam Mesir, 3-1 pada perlawanan kelayakan kumpulan A Piala Dunia 2018 malam tadi. – Gambar AFP, 20 Jun, 2018.

RUSIA melangkah ke ambang pusingan kedua Piala Dunia 2018 selepas membenamkan Mesir 3-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan A di St Petersburg, awal pagi tadi.

Rusia mengambil masa 15 minit untuk tiga kali membolosi gawang Mesir pada awal babak kedua, bermula dengan gol sendiri pemain pertahanan Ahmed Fathy pada minit ke-47.

Denis Cheryshev dan Artem Dzyuba kemudian menjaringkan gol masing-masing dalam tempoh tiga minit berselang untuk mengesahkan penguasaan penuh Rusia di gelanggangnya sendiri ke atas pasukan dari benua Afrika itu.

Bintang Liverpool, Mohamed Salah menyumbat masuk penalti pada minit ke-73, namun gagal menaikkan semangat Mesir untuk bangkit melawan.

Rusia akan mengesahkan kelayakannya ke pusingan kedua sekiranya Uruguay mengalahkan Arab Saudi malam nanti, dan Mesir yang menunggu 28 tahun untuk bermain di Piala Dunia akan pulang hampa.

Senegal 2-1 Poland

Sementara itu, dalam perlawanan Kumpulan H, Senegal mengejutkan Poland 2-1 di Moscow selepas pasukan Eropah itu tidak henti-henti membuat silap.

Poland, pasukan ranking kelapan, dijangka layak ke pusingan kedua namun kekalahan malam tadi meletakkanya di laluan yang sukar.

Idrissa Gueye memberikan Senegal gol pertama pada minit ke-37 selepas rembatannya tertampan pada pemain pertahanan Poland, Thiago Cionek dan masuk ke gawang sendiri. Ini adalah gol sendiri kelima dalam Piala Dunia 2018.

Senegal melebarkan pendahuluannya apabila M’Baye Niang meloloskan diri ketika pemain Poland, Grzegorz Krychowiak dan penjaga gol Wojciech Szczesny terpinga menyambut bola lambung.

Pemain Senegal, Salif Sane (hijau) dan pemain Poland, Maciej Rybus (putih) berebut bola dalam perlawanan yang menyaksikan Senegal menang 2-1.  – Gambar AFP, 20 Jun, 2018.

Niang yang dihadapkan dengan pintu gol yang ternganga dengan mudah menguis bola masuk.

Krychowiak kemudian menebus kesilapannya dengan tandukan cantik daripada tendangan percuma, empat minit sebelum masa tamat.

Poland kini perlu menang dengan Colombia, yang kalah mengejutkan pada Jepun dalam satu lagi perlawanan kumpulan sebelumnya.

Jepun 2-1 Colombia

Colombia, pasukan pilihan Kumpulan H, langkah kaki kiri apabila terpaksa bermain dengan 10 orang seawal minit ke-3. 

Carlos Sanchez ditunjukkan kad merah selepas menampan bola dengan lengan ketika serangan pertama skuad Samurai Biru itu.

Shinji Kagawa menyempurnakan penalti pada minit ke-6, tetapi Jepun gagal mengekalkan pendahuluannya ke separuh masa kedua.

Pemain Jepun, Makoto Hasebe meraikan kemenangan Jepun menewaskan Colombia 2-1, pasukan Asia pertama berjaya menewaskan pasukan Amerika Latin pada pusingan kumpulan Piala Dunia.  – Gambar EPA, 20 Jun, 2018.

Enam minit sebelum rehat, Juan Quintero menyumbat gol melalui sepakan percuma yang hanya dapat ditangkap penjaga gol setelah bola lepas garisan.

Jepun mengambil kesempatan bermain lebih seorang untuk terus menguasai permainan namun kecekapan David Ospina dua kali menepis bola bolos di gawang Colombia.

Bintang Bayern Munich, James Rodriguez dimasukkan pada babak kedua namun jelas diganggu kecederaan pada pehanya.

Sepakan penjuru pada minit ke-73 disudahkan oleh Yuya Osako dengan tandukan yang memberi mata penuh kepada Jepun untuk mendahului kumpulan.

Skuad bimbingan Akira Nishino ini, yang duduk dalam kategori pasukan corot, kini berpeluang layak ke pusingan kedua.

Sementara itu, malam nanti akan berlangsung tiga lagi perlawanan: Portugal lawan Maghribi, Uruguay lawan Arab Saudi dan Iran lawan Sepanyol. – 20 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen