Buat apa Malaysia terlibat perang di Yaman, soal Mat Sabu


Zulkifli Sulong

Mohamad Sabu semasa pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama di Kementerian Pertahanan pada hari pertama beliau menjalankan tugas sebagai menteri pertahanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2018.

KERAJAAN Malaysia sedang mengkaji semula penghantaran tenteranya ke Arab Saudi untuk mengelak terlibat dengan konflik di negara-negara teluk, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Langkah ini bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali, tegasnya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

“Kita sedang kaji dan kemungkinan akan tarik balik tentera kita dari sana kerana kita mahu kekal sebagai negara berkecuali,” katanya.

Tegas Mohamad, Malaysia tidak harus terlibat dengan konflik Arab Saudi dan negara-negara teluk berkenaan, apatah lagi apabila ia melibatkan serangan ke atas sebuah negara Islam.

“Buat apa kita terlibat menyerang Yaman, sebuah negara Islam dan kita tidak mahu terlibat dengan konflik sebegini.

“Jika tentera kita mahu terlibat di peringkat antarabangsa, ia hanya melalui PBB sahaja selepas ini,” kata Mohamad yang baru mengangkat sumpah jawatan menteri pertahanan, sebulan yang lalu.

Beliau mengulas satu kenyataan Persatuan Patriot Kebangsaan (PPK) yang mempersoalkan penglibatan pasukan tentera Malaysia dalam pakatan negara Arab.

Ini memandangkan, Arab Saudi dan sembilan negara sekutunya didakwa menyerang Yaman atas alasan mempertahankan kerajaan itu yang sedang menghadapi ancaman dari kumpulan penentangnya.

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein pada November lalu menafikan Malaysia terlibat dalam operasi ketenteraan dan menjelaskan penyertaan itu adalah dalam misi kemanusiaan.

Namun alasan itu dipersoal kumpulan peguam Lawyers for Liberty yang menganggapnya sebagai penjelasan yang “tidak masuk akal”.

Pengarah eksekutifnya, Eric Paulsen dalam satu kenyataan semalam berkata, kerja-kerja kemanusiaan itu pastinya sudah tamat dan tidak perlu mengambil masa sehingga tiga tahun.

“Jika benar pasukan kita dihantar untuk membantu usaha pemindahan, kerja itu sepatutnya sudah siap sekarang dan tidak perlu dikekalkan untuk tempoh tiga tahun,” katanya.

Pada 14 April lalu, tentera Malaysia dilaporkan terlibat secara langsung dalam latihan yang dinamakan Gulf Shield 1 di Dammam, Arab Saudi.

Media Arab Saudi juga melaporkan, pembentukan gabungan pasukan dari 34 negara termasuk Malaysia itu bertujuan untuk “melawan keganasan”. 

Sejak 2015, Arab Saudi mengetuai gabungan negara Arab itu melancarkan serangan udara bagi membantu kerajaan Yaman melawan pemberontak puak Houthi dan pihak yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh.

Kerjasama puak itu dengan Ali dikatakan menambahkan sokongan menggulingkan presiden yang disokong Arab Saudi, Abdrabbuh Mansour Hadi.

PBB mengeluarkan amaran kepada negara lain yang membantu Riyadh selepas penyiasatannya mendapati kebanyakan sasaran serangan di Yaman antara Mac dan Oktober tahun lalu adalah kawasan awam, melibatkan kematian 292 orang awam termasuk 100 wanita dan kanak-anak. – 20 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • betul juga apa yang dikatakan oleh Menteri pertahanan kita Mat SAbu itu..kalau ada tentera kita yang mahu pergi ke Yaman itu haruslah melalui PBB minta persetujuan meraka baru tentera boleh pergi..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan