Guan Eng jawab Anwar, PM arah dedah skandal kewangan


Lim Guan Eng berkata skandal yang didedahkannya sejak menjadi menteri kewangan dibuat atas arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2018.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng berkata langkah mendedahkan skandal kewangan yang berlaku dalam kementeriannya sebelum ini dibuat atas arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan Ketua Umum Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim yang menyarankan agar beliau memfokuskan kepada usaha memulihkan ekonomi dan keyakinan pelabur.

Dalam kenyataannya, Lim juga berkata pendedahan skandal berkenaan tidak harus dijalankan kementerian lain kerana ia berlaku dalam kementerian kewangan.

“Ini telahpun diterangkan kepada Datuk Seri Anwar bahawa semua pendedahan skandal kewangan berkaitan 1MDB dan juga skandal lain di dalam media dibuat atas arahan perdana menteri. Beliau faham tentang perkara ini. 

“Saya bukanlah perdana menteri dan tidak mempunyai kuasa untuk memberikan arahan kepada menteri-menteri lain bagi mendedahkan skandal kewangan yang berlaku dalam bidang kuasa kementerian kewangan.

“Tidaklah kena pada tempatnya untuk saya mengarahkan seorang menteri yang lain mendedahkan skandal kewangan kerajaan lama yang berlaku dalam kementerian kewangan yang disandang oleh saya,” katanya.

Anwar dalam kenyataan di Astro Awani hari ini menyarankan Lim meningkatkan keyakinan pelabur ekoran laporan negatif agensi penarafan Moody’s minggu lalu, susulan pengumuman Malaysia berhubung tanggungan hutang 1MDB, pemansuhan GST, dan pengenalan semula subsidi bahan api.

Saranan Anwar itu juga timbul ekoran tindakan pelabur luar negara menjual saham di Bursa Malaysia dan juga bon pelaburan.

Mengulas lanjut, Lim berkata, pendedahan tersebut wajar dilakukan kerana rakyat berhak mengetahui kedudukan kewangan negara yang sebenar.

“Rakyat tidak mahu kerajaan sorok-sorok atau sembunyikan lagi. Semasa berjumpa dengan Datuk Seri Anwar, beliau juga bersetuju. 

“Kementerian saya akan terus membongkarkan semua skandal kewangan dalam tempoh masa 100 hari seperti mana yang diarahkan perdana menteri. Kita harus berani kerana benar,” tegasnya.

Lim turut menyenaraikan rancangan kerajaan untuk menangani beban hutang termasuk melalui penangguhan projek dan langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Tambahnya, langkah itu dijalankan tanpa menjejaskan defisit bajet yang kekal pada paras 2.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. – 19 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen