MASALAH obesiti menjejaskan 18.9% penduduk Brazil yang tinggal di bandar raya, manakala 54% lagi mengalami masalah berat badan berlebihan, menurut data Kementerian Kesihatan yang diterbitkan pada Isnin.
Menurut Vigitel, kajian terhadap faktor risiko kesihatan dan penyakit kronik di seluruh negara, masalah obesiti mengalami peningkatan sebanyak 110% dalam kalangan remaja antara 2007 dan 2017.
Bagaimanapun, dari sudut positif, kajian mendapati terdapat peningkatan aktiviti fizikal sebanyak 24.1% antara 2009 dan 2017, selain penurunan penggunaan soda dan minuman manis sebanyak 52.8% antara 2007 dan 2017.
Jumlah orang yang minum minuman manis turut menurun, terutamanya dalam kalangan orang dewasa berumur antara 25 dan 34 tahun serta mereka berusia lebih 65 tahun.
Aktiviti makan buah dan sayur pula meningkat sebanyak 5% antara 2008 dan 2017.
Pengarah Kementerian Kawalan Penyakit Kronik, Fatima Marinho berkata “walaupun trend itu menunjukkan kestabilan dan pertumbuhan orang yang mengamalkan aktiviti fizikal dan memakan makanan lebih sihat, namun masih perlu berwaspada”.
“Obesiti dan berat badan berlebihan punca kepada penyakit kronik, seperti hipertensi (darah tinggi) dan diabetes, yang merosakkan kesihatan penduduk dan keadaan itu sebenarnya boleh dielakkan,” katanya. – Bernama, 19 Jun, 2018.
Komen