Orang Utan Sumatera tertua dunia mati di zoo Australia


Puan, orang utan Sumatera tertua dunia yang dihadiahkan oleh kerajaan Malaysia pada 1968 mati di zoo Australia, semalam. – Gambar AFP, 19 Jun, 2018.

ORANG utan Sumatera tertua dunia yang memiliki 11 anak dan 54 ekor waris di seluruh dunia mati pada usia 62 tahun, semalam.

Dikenali sebagai “Puan”, haiwan itu disahkan mati di Zoo Perth yang dihuninya sejak dihadiahkan oleh kerajaan Malaysia pada 1968.

Penyelaras primat zoo berkenaan Holly Thompson berkata, Puan amat berjasa kepada keseluruhan koloni di zoo itu dan kesinambungan kehidupan spesies haiwan berkenaan.

“Selain menjadi ahli tertua di koloni kami, Puan juga ahli pengasas program pembiakan semula dan meninggalkan legasi yang amat hebat.

“Genetik Puan menyumbang kepada hampir 10% populasi zoo peringkat global,” katanya.

Puan mempunyai 11 anak dan 54 waris di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan hutan di Sumatera, Indonesia. Cicit Puan, dikenali sebagai Nyaru adalah yang terkini dilepaskan untuk hidup dalam habitat asal.

Dilahirkan pada 1956, Puan diiktiraf Rekod Dunia Guiness sebagai orang utan Sumatera paling tua di dunia. Jangka hayat orang utan betina jarang melepasi 50 tahun jika hidup secara liar di hutan. – AFP, 19 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen