Abang ipar Raja Sepanyol dipenjara kerana gelapkan wang


Inaki Urdangarin, suami kepada Cristina, kakak Raja Sepanyol dijatuhi hukuman penjara enam tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan menggelapkan wang. – Gambar fail AFP, 19 Jun, 2018.

ABANG ipar kepada Raja Sepanyol menjalani hukuman penjara enam tahun bermula semalam, menamatkan skandal rasuah yang sudah terlalu lama dan membangkitkan kemarahan rakyat, sekali gus memalukan kerabat diraja.

Inaki Urdangarin, suami kepada Cristina, kakak Raja Felipe, tiba di penjara di utara Madrid awal pagi Isnin selepas kalah dalam permohonan rayuannya di Mahkamah Agung minggu lalu.

Bekas pemain bola baling Olimpik itu dihukum penjara lima tahun 10 bulan kerana menggelapkan jutaan euro dalam kes yang mencetuskan kemarahan rakyat sehingga menyebabkan bapa Felipe, Raja Juan Carlos I, turun takhta.

Urdangarin, 50, menyerah diri di penjara berhampiran Brieva, kira-kira 100km utara Madrid, jam 8 pagi waktu tempatan.

Urdangarin didapati bersalah tahun lalu atas tuduhan menggelapkan jutaan euro antara 2004 hingga 2006 daripada yayasan sukan Noos Institute yang diterajuinya di pulau Majorca.

Status Urdangarin berubah daripada atlet bersinar yang menawan kerabat diraja Sepanyol pada 1990-an kepada kambing hitam yang mencemar reputasi keluarga itu.

Siasatan terhadapnya bermula pada 2010 sebelum skandal itu terbongkar setahun selepas itu, apabila keluarga diraja mula menyingkirkannya daripada aktiviti mereka.

Hukuman penjara Urdangarin bermula ketika Raja Felipe memulakan lawatan rasminya ke Amerika Syarikat di mana baginda dijadualkan bertemu Presiden Donald Trump pada Selasa.

Dalam satu temu bual dengan televisyen awam TVE, Perdana Menteri Pedro Sanchez berkata sabitan bersalah Urdangarin dan hukuman penjara menunjukkan bahawa “tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang dan semua orang tertakluk kepada undang-undang yang sama”. – AFP, 19 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen