JUMLAH kematian gempa bumi besar yang melanda Osaka, Jepun pada Isnin meningkat kepada empat orang dan lebih 380 orang lain cedera, kata jurucakap kerajaan.
Kerajaan Jepun turut memberi amaran tanah runtuh boleh berlaku disebabkan hujan lebat.
Mangsa keempat disahkan sebagai wanita berusia 81 tahun yang maut selepas terperangkap ditimpa almari di rumahnya.
Kematian lain termasuk seorang budak perempuan berusia sembilan tahun di bandar Takatsuki, utara Osaka yang dtimpa runtuhan dinding sekolahnya susulan gempa bumi berskala 5.3 itu.
Dua lagi mangsa disahkan lelaki berusia 80 dan 84 tahun.
“Setakat ini kami sahkan empat orang maut dan 381 cedera,” kata jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga kepada wartawan pada Selasa.
Tidak dapat dipastikan tahap keseriusan kecederaan dialami mangsa.
Agensi kaji cuaca Jepun memberi amaran, hujan lebat dijangka turun di Osaka pada Selasa dan Rabu yang boleh menyebabkan tanah runtuh kerana perubahan stuktur tanah.
Agensi itu menyebut, kawasan itu boleh menyaksikan penurunan hujan sehingga 50 milimeter pada pagi Rabu dan mencecah 100 milimeter dalam tempoh 24 jam.
“Selalunya kami tak keluarkan amaran dengan tahap hujan sebegini, tetapi selepas gempa ia boleh sebabkan tanah runtuh, banjir dan limpahan air sungai,” kata pegawai kaji cuaca, Masakatsu Oya kepada AFP.
Pegawai turut memberi amaran gempa susulan terutama dalam tempoh dua atau tiga hari akan datang.
Bekalan elektrik sudah pulih tetapi bekalan gas dan air akan ambil masa untuk pulih, kata pegawai.
Kementerian Pendidikan Jepun memberitahu AFP yang ia akan mengarahkan lembaga pendidikan seluruh negara memeriksa bangunan sekolah selepas kejadian pelajar perempuan maut ditimpa dinding sekolahnya.
Lebih 500 sekolah rendah dan menengah di Osaka dan empat lagi kawasan mengalami kerosakan termasuk dinding runtuh dan tingkap pecah kerana gempa itu, kata pegawai kementerian. – AFP, 19 Jun, 2018.
Komen