.jpg)
KETIKA artikel ini ditulis rata-rata rakyat Malaysia masih lagi beremosikan suasana lebaran. Namun, ianya berbeza sekali dengan ahli-ahli Umno seluruh Malaysia kini yang akan menghadapi pemilihan pucuk pimpinan yang boleh dikatakan maha agung kali ini.
Buat julung kali dalam sejarah Umno moden kita dapat menyaksikan begitu ramai yang menawarkan diri untuk menjadi presiden Umno. Namun, tiga individu utama yang dikira sebagai “real competitor” ialah Khairy Jamaluddin, Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Tengku Hamzah. Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri samada dari segi karakter, pengalaman dan track record yang boleh diperkatakan.
Namun, bukan itu yang ingin dibicarakan. Umno harus melihat kehadapan, menjangkaui proses pemilihan ini. Soal pasca pemilihan ini begitu penting bagi memastikan Umno terus kekal relevan dalam massa ini. Lantaran itu, suka untuk saya mengariskan disini tiga cabaran yang harus difikirkan oleh bakal presiden Umno.
Pertama, penyatuan Barisan Nasional (BN). Umum melihat bagaimana pasca PRU14, BN dilihat begitu pincang sekali. Tiada satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh BN, sebaliknya masing-masing mengambil kesempatan ini untuk menyalahkan antara satu sama lain. Kekuatan BN sebelum ini bukan hanya terletak dibahu Umno semata-mata sebaliknya ianya kerana kekuatan dan kejituan toleransi parti-parti kompenen dalam BN.
Maka, menjadi tugas & tanggungjawab pertama bakal presiden Umno untuk memastikan perikatan itu terus kukuh. Besar harapan rakyat Malaysia untuk melihat BN menjadi pembangkang yang jitu dan berwibawa.
Kedua, bakal presiden Umno perlu meminda perlembagaan dan struktur politik dalam Umno. Umno tidak boleh lagi menjadi begitu eksklusif. Ianya haruslah inklusif yang mampu menarik minat golongan muda. Dengan proses pendaftaran keahlian yang begitu rumit dan penuh birokrasi tapisan cawangan dan bahagian hanya akan menjauhkan lagi golongan muda terutamanya untuk menyertai Umno.
Sudah tiba masanya juga untuk pemilihan pucuk pimpinan dipilih secara terus oleh akar umbi yang akan dapat memastikan “sistem cai” dan politik wang dapat dibasmi sebaik-baiknya.
Ketiga, survival Umno sebagai parti Melayu tunggal. Pasca kekalahan BN PRU-14 menyaksikan banyak “bunyi-bunyi” dari pucuk pimpinan parti sendiri yang mahu membuka keahlian Umno kepada bangsa lain. Idea ini dilihat progresif namun ianya bukanlah idea yang baharu. Terdahulu, Dato’ Onn pernah mencadangkan idea yang sama tetapi ianya ditolak oleh ahli Umno pada ketika itu.
Kini, dengan realiti politik semasa Umno, ianya masih agak mustahil untuk dilaksanakan. Namun ianya tidak mustahil untuk memperkenalkan konsep “direct membership” dalam BN. Ianya memberi kelebihan kepada BN memandangkan ianya akan memberi ruang & peluang buat mereka yang menyokong BN tetapi enggan bersama parti komponen.
Konsep “direct membership” BN ini juga memberikan kelebihan buat BN kerana melalui konsep ini, ianya boleh memastikan BN siap siaga dengan dasar dan polisi bersama parti-parti komponen dan tiadanya dominasi tunggal parti komponen dalam BN sepertimana yang berlaku sebelum ini.
Banyak lagi cabaran-cabaran dan tugas tanggungjawab bakal presiden Umno, namun tiga cabaran ini adalah responsif dari keadaan semasa Umno. Maka, saya menyeru kembali ahli-ahli Umno yang bakal menjalankan tanggungjawab sebagi pemilih untuk menilai semula calon-calon yang bertanding. Melihat dalam kaca mata yang waras dan rasional menjangkaui pemilihan Umno.
Untuk kembali berkuasa, pucuk pimpinan Umno mestilah bukan sahaja diterima dikalangan ahli Umno tetapi rakyat Malaysia khususnya. Sesungguhnya rakyat Malaysia sedang memerhati dan menilai pilihan kalian. Selamat memilih! – 19 Jun, 2018.
*Firdaus Samad adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen