Amirudin Shari sah MB Selangor


Radzi Razak

Adun Sungai Tua Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor yang baru menggantikan Mohamed Azmin Ali hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Jun, 2018.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua Amirudin Shari disahkan sebagai menteri besar Selangor yang baru menggantikan Mohamed Azmin Ali.

Beliau kini di Istana Alam Shah, Klang untuk istiadat angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dijadualkan berlangsung 10 pagi ini dengan kehadiran pegawai negeri serta wakil rakyat Parlimen dan DUN Selangor.

Amiruddin yang juga setiausaha PKR Selangor merupakan seorang yang rapat dengan Azmin sejak penubuhan PKR pada 1998 dan memegang portfolio pembangunan generasi muda, sukan, kebudayaan dan pembangunan usahawan sebelum ini.

Amirudin melafaz aku janji dan mengangkat sumpah setia kerahsiaan negeri memakai persalinan baju Melayu Hitam, bertanjak sambil memegang lembing Sang Buana berjanji akan mempertahankan institusi diraja dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain. 

Beliau turut melafazkan sumpah bersedia ditimpa bencana yang diturunkan Allah serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai menteri besar Selangor.

Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail turut mengangkat sumpah hari ini sebagai ahli majlis mesyuarat negeri (exco) Selangor, mengisi satu kekosongan exco selepas Azmin berpindah ke Putrajaya.

Rodziah adalah setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail dan pernah berkhidmat sebagai exco negeri memegang portfolio Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi pada 2008 hingga 2013 ketika pentadbiran Khalid Ibrahim.

Lapan lagi exco iaitu Adun Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha, Adun Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin dan Adun Kajang Hee Loy Sian, ketiga-tiganya dari PKR; Adun Kota Kemuning, V Ganabatirau dan Adun Kinrara Ng Sze Han dari DAP; Adun Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud dan Adun Pandan Indah Ir Izham Hashim dari Amanah dan Adun Selat Kelang Abdul Rashid Ansari (Bersatu) telah mengangkat sumpah 14 Mei lalu. 

Istiadat bermula tepat jam 10 pagi dan tamat jam 11 pagi tadi selepas bacaan doa oleh Mufti Selangor Mohd Tamyes Abd Wahid. 

Amirudin kemudiannya mengiringi Sultan untuk majlis bersantap dan dijadualkan membuat sidang media di Shah Alam tengahari ini. – 19 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen