Trump mahu dominasi angkasa, bulan dan Marikh


Presiden Donald Trump menunjukkan arahan berkenaan ruang angkasa selepas menandatanganinya ketika mesyuarat Majlis Angkasa Negara di White House semalam. – Gambar AFP, 19 Jun, 2018.

PRESIDEN Donald Trump semalam berkata Pentagon diarahkan menubuhkan “tentera angkasa” Amerika Syarikat (AS) yang bakal menjadi cabang ke-6 tentera AS dan memastikan “dominasi AS” di angkasa.

“Saya mengarahkan Jabatan Pertahanan dan Pentagon supaya memulakan proses untuk menubuhkan tentera angkasa sebagai cabang ke-6 angkatan tentera.

“Kita ada tentera udara dan kita juga akan mempunyai tentera angkasa berasingan tetapi sama tahap. Dalam mempertahankan Amerika, kewujudan AS di angkasa saja tidak mencukupi, kita mesti mendominasi angkasa,” kata Trump.

Setakat ini, perincian mengenai peranan tentera angkasa AS masih tidak jelas.

Kenyataan Trump itu dikeluarkan ketika permulaan mesyuarat ketiga sebuah badan penasihat yang diketuai Naib Presiden Mike Pence, Majlis Angkasa Nasional.

“Amerika akan sentiasa jadi yang pertama di ruang angkasa.

“Kami tidak mahu China dan Rusia dan negara lain mendahului. Kami yang akan selalu mendahului.

“Pentadbiran saya akan menuntut semula warisan Amerika sebagai negara terhebat yang menguasai ruang angkasa,” katanya.

Sejak kempen pilihan raya presidennya, Trump berulang kali berjanji akan sekali lagi menghantar manusia ke bulan untuk kali pertama sejak 1972, dalam persediaan bagi misi pertama manusia ke planet Marikh dalam dekad akan datang. – AFP, 19 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen