USAHA gencatan senjata Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu di Yaman dilihat terganggu, menimbulkan kebimbangan kepada orang awam berikutan pasukan pro-kerajaan yang disokong Arab Saudi meningkatkan serangan untuk menawan semula kawasan bandar Hodeida yang dikuasai pemberontak.
Selepas rundingan dua hari yang diadakan di ibu negara itu di Sanaa, delegasi PBB Martin Griffith mengadakan taklimat Majlis Keselamatan sebagai usaha untuk menamatkan krisis di Hodeida, yang amat memerlukan bantuan.
Namun pemberontak Huthi yang disokong Iran berkata rundingan berkenaan gagal, dan ketua kerajaan tidak rasmi mereka menolak gencatan senjata selepas pertemuan dengan Griffith pada Ahad.
Abdulaziz Saleh bin Habtoor menuduh pasukan yang diketuai Arab Saudi “meningkatkan serangan mereka di pantai barat apabila mereka merasakan terdapat gerakan serius bagi penyelesaian itu”.
Serangan yang dibantu Arab Saudi dan Emirati menyaksikan ribuan keluarga di negara itu terpisah selepas serangan ke bandar pelabuhan Laut Merah.
Pemberontak Huthi menawan kawasan di sepanjang ibu negara Sanaa dan kebanyakan kawasan utara Yaman pada 2014, mencetuskan campur tangan oleh sekutu Arab Saudi pada tahun berikutnya.
Peperangan bagi mengawal negara termiskin Arab itu menyaksikan sekurang-kurangnya 10,000 orang terbunuh dan menyebabkan PBB menyifatkan ia sebagai krisis kemanusiaan terbesar di dunia.
Kira-kira 22 juta orang memerlukan bantuan, manakala 8.4 juta orang lagi berdepan ancaman kebuluran.
Lebih 70% aliran import Yaman adalah melalui Hodeida. – AFP, 18 Jun, 2018.
Komen