PUTERA Kemboja yang cedera dalam kemalangan kereta yang juga meragut nyawa isterinya diterbangkan ke Bangkok untuk dirawat dan dijangka akan pulih, kata seorang ahli partinya.
Putera Norodom Ranariddh, bekas perdana menteri dan abang tiri Raja Norodom Sihamoni, patah beberapa tulang rusuk dan cedera di kaki, kata Setiausaha Agung parti Funcinpec, Yim Savy.
“Dia dihantar ke Thailand sebagai langkah berjaga-jaga,” kata Savy sambil menambah putera berusia 74 tahun itu boleh bercakap seperti biasa.
Bangkok mempunyai beberapa kemudahan perubatan terbaik di Asia Tenggara dan rakyat Kemboja yang berkemampuan sering mendapatkan rawatan di sana.
Ranariddh, yang mengetuai parti Funcinpec, Ahad lalu sedang memandu bersama isterinya, Ouk Phalla dalam konvoi kempen di barat daya Kemboja apabila sebuah teksi dari arah bertentangan melanggar kenderaan mereka.
Phalla, 39, yang terkenal di Kemboja sebagai seorang penari klasik sebelum berkahwin dengan Ranariddh, meninggal dunia di sebuah hospital tempatan manakala Ranariddh dibawa ke Pnomph Penh.
Sekurang-kurangnya tujuh cedera dalam kemalangan itu.
Seorang pegawai kanan Funcinpec ketika majlis pengebumian Phalla hari ini memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa perlu menyiasat kemalangan tersebut.
“Kami cuma tertanya-tanya bagaimana konvoi yang diketuai oleh kereta siren boleh mengalami kemalangan,” katanya sambil menggambarkan kecederaan yang dialami Ranariddh sebagai “agak serius”. – AFP, 18 Jun, 2018.
Komen