PAPUA New Guinea mengisytiharkan darurat di Dataran Tinggi Selatan selepas sebuah kumpulan bersenjata mengamuk, membakar pesawat penumpang dan rumah gabenor.
Menurut polis, orang ramai mengamuk dengan keputusan mahkamah membatalkan petisyen ke atas pemilihan gabenor wilayah, William Powi pada 2017.
Pada minggu lepas, mereka membakar rumah Powi dan bangunan mahkamah di bandar Mendi serta memusnahkan sebuah pesawat milik kerajaan di lapangan terbang.
Tiada kecederaan dilaporkan dan Air Niugini berkata anak kapal atas pesawat Dash 8 itu semuanya selamat dan telah kembali ke ibu kota Port Moresby.
Perdana Menteri Peter O’Neil mengisytiharkan darurat selama sembilan bulan dan menggantung kerajaan wilayah itu pada Jumaat.
“Wilayah ini sedang dipulihkan kepada keadaan sediakala dan kami ingin memohon maaf kepada Papua New Guinea atas kejadian baru-baru ini,” O’Neil memberitahu akhbar Post Courier.
“Tiada siapa mengatasi undang-undang dan semua yang terlibat akan dikenakan hukuman dan menerima pembalasan atas semua kesalahan yang mereka lakukan,” tambahnya dalam satu kenyataan. – AFP, 18 Jun, 2018.
Komen