Alibaba dapat inspirasi dari MSC Dr Mahathir, kata Jack Ma


Low Han Shaun

Pengasas Alibab, Jack Ma berkata itu beliau masih tinggal dalam pangsapuri kecilnya di China pada 1997. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Jun, 2018.

IDEA penubuhan Alibaba diinspirasikan dari projek Multimedia Super Corridor (MSC) Dr Mahathir, kata pengasasnya, Jack Ma.

Menurut Ma, ketika masih tinggal dalam pangsapuri kecilnya di China, beliau ada membaca mengenai projek MSC Dr Mahathir dan berpendapat ia turut akan memberi manfaat kepada ekonomi China.

“Masa itu saya tertanya-tanya bagaimana teknologi digital ini dapat memberi kuasa kepada orang ramai sehinggalah pada suatu hari ketika sedang membaca surat khabar, saya terbaca mengenai MSC ini.

“Dan saya kata, wow, ini idea genius, macam mana ini boleh berlaku?

“Pada saat saya membaca berita ini di China pada 1997, saya kata: ‘Kalau Malaysia boleh, mengapa tidak China? Kalau ini boleh berlaku, mengapa tidak saya keluar dari pangsapuri saya?’

“Jadi, Malaysia telah memberi saya inspirasi untuk mewujudkan Alibaba dan hari ini saya mengucapkan terima kasih kepada PM atas inspirasi beliau untuk MSC,” kata Ma dalam ucapannya pada majlis perasmian ibu pejabat Alibaba di Malaysia hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Google berkata ia akan melabur sebanyak AS$550 juta dalam pesaing utama Alibaba, JD.com sebagai usaha untuk mengembangkan pasaran e-dagang Asia yang pesat berkembang.

Menurut laporan AP, di bawah perkongsian itu produk-produk JD.com akan muncul di bahagian khidmat beli-belah Google. Sementara itu, Google boleh mengguna pakai rangkaian bekalan dan kepakaran logistik syarikat e-dagang ke atas teknologinya.

Google dipetik berkata menerusi perkongsian ini juga ia akan meneroka jalan baharu bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah pengguna di seluruh dunia.

MSC, yang digagaskan oleh Dr Mahathir telah dilancarkan pada pertengahan 1990-an sebagai zon ekonomi dan teknologi maklumat meliputi Kuala Lumpur, Cyberjaya, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Ma, beliau mendapat inspirasi untuk “membaca lebih banyak buku” dan memperoleh lebih banyak maklumat selepas perjumpaan dengan Dr Mahathir pagi tadi.

“Beliau seorang lagenda, 93 tahun dan mempunyai visi hebat serta pengetahuan yang sangat luas mengenai teknologi.

“Selepas bercakap dengannya, Dr Mahathir memberi inspirasi kepada saya untuk lebih banyak membaca buku.”

Ma berkata beliau dan perdana menteri turut berkongso minat dan kepercayaan yang sama mengenai Internet dan teknologi dalam membantu perniagan kecil, belia dan penduduk di luar bandar.

“Kami percaya kepada (penggunaan) teknologi untuk memperkasakan penduduk luar bandar, mencipta peluang pekerjaan untuk mereka dan menjadikan mereka lebih produktif.

“Kami bersetuju, dengan Alibaba dan Malaysia sebagai rakan kongsi, kami boleh gunakan teknologi untuk melatih seramai mungkin anak muda, melatih dan membantu perniagaan kecik sebanyak yang mungkin.” – 18 Jun, 2018.

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sememangnya Tun M mempunyai pandangan yang jauh ke hadapan..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan