PESAWAT perang Israel pada Isnin melakukan serangan terhadap sembilan “sasaran ketenteraan” Hamas di utara Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap “serangan” layang-layang yang membawa bahan mudah terbakar ke wilayah Israel, kata tentera.
Serangan itu menyasarkan dua tapak tentera Hamas dan tapak pembuatan senjata, kata tentera dalam satu kenyataan, tanpa menyatakan sama ada ia mengakibatkan korban.
“Belon api” dan layang-layang itu menjadi simbol protes rakyat Palestin di sempadan beberapa bulan kebelakangan ini.
Tentera Israel pada Sabtu mencederakan dua rakyat Palestin di Jalur Gaza yang cuba melancarkan belon api menyeberang sempadan ke Israel, kata para pegawai.
Sejak protes besar-besaran sempadan berlaku pada akhir Mac, lebih 300 kebakaran berlaku yang memusnahkan beberapa ribu hektar ladang dan tanah rumput, kata pihak berkuasa Israel.
Menurut Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman, 400 daripada 600 layang-layang yang dilancarkan berjaya dipintas sejak bermulanya protes baru-baru ini.
Pada masa yang sama, sekurang-kurangnya 130 orang Palestin ditembak mati tentera Israel dan tiada seorangpun rakyat Israel yang terbunuh. – AFP, 18 Jun, 2018.
Komen