TALIBAN enggan melanjutkan tempoh gencatan senjata selepas malam Ahad, menghancurkan harapan untuk keamanan selepas suasana gemilang ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri di Afghanistan.
Pengumuman itu dibuat selepas serangan membunuh di bahagian timur negara itu pada Ahad yang membunuh sekurang-kurangnya 18 orang yang sedang meraikan sambutan itu, menjadi serangan kedua dalam tempoh sebelum gencatan senjata kali pertama itu.
Kabul melanjutkan tempoh gencatan senjata dengan Taliban selama 10 hari tetapi berkata pasukan keselamatan akan mempertahankan diri jika diserang, kata jurucakap kepada Presiden Ashraf Ghani menerusi Twitter.
Pemimpin Afghanistan juga meminta kumpulan militan menghentikan seketika keganasan tetapi Taliban berkata peperangan akan bersambung semula.
“Gencatan senjata tamat malam ini dan operasi kami akan bermula, insya-Allah. Kami tidak berniat untuk melanjutkan gencatan senjata,” kata jurucakap kumpulan itu, Zabihullah Mujahid.
Beliau bagaimanapun tidak merujuk kepada pengumuman Ghani.
Pada Sabtu, serangan bunuh diri berlaku di satu perkumpulan Taliban, pasukan keselamatan dan orang awam di wilayah itu menyebabkan 36 terbunuh dan mencederakan 65 yang lain, kata Kamawal.
Islamic State cabang Afghanistan yang aktif di bahagian timur mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Kumpulan itu membunuh ribuan orang di beberapa serangan di seluruh negara itu sejak pertama kali muncul di wilayah berkenaan pada 2014. Ia juga bertempur dengan Taliban di beberapa kawasan. – AFP, 18 Jun, 2018.
Komen