Selepas PRU14, portal berita Umno bercempera


Radzi Razak

Beberapa portal berita dalam talian yang dikaitkan dengan Umno, ada terpaksa ditutup manakala sesetengahnya mula menghentikan pekerja untuk terus bertahan selepas parti Melayu itu tewas dalam PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insigh, 18 Jun, 2018.

SELEPAS Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah pilihan raya umum (PRU) bulan lepas, landskap media Malaysia sedikit berubah apabila beberapa portal berita dalam talian yang dikaitkan dengan parti itu ditutup manakala sesetengahnya mula menghentikan pekerja untuk terus bertahan.

Kebanyakan portal itu mendapat pembiayaan dan dana daripada parti melalui Unit Media Baru Umno atau unit propaganda kerajaan BN, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang sebelum ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kesemua portal ini turut didaftarkan di bawah Jabatan Penerangan Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta kakitangannya mempunyai kad media berwarna kelabu yang mengesahkan mereka syarikat penerbitan berita atas talian.

The Malaysian Insight dimaklumkan antara portal yang sudah ditutup ialah Antarapos. Portal yang dibuka pada 2011 itu sebelum ini kritikal terhadap kerajaan negeri Selangor termasuk pemimpin pembangkang Pakatan Rakyat dan kemudian Pakatan Harapan.

Beberapa kakitangan Antarapos mengaku mereka kini kehilangan pekerjaan kerana tiada lagi dana dari pemimpin Umno.

“Mungkin selepas ini Antarapos akan hidup lagi dan bertukar wajah dan pentadbiran,” kata sumber itu yang enggan identitinya didedahkan.

Semakan ke atas laman web itu mendapati ia sekarang “dalam pembinaan”, tidak lagi aktif berbanding semasa pilihan raya umum lepas.

Antarapos pernah jadi rujukan Kementerian Dalam Negeri pada 2013 sebagai bukti bahawa timbalan presiden PAS ketika itu, Mohamad Sabu yang kini presiden Amanah dan menteri pertahanan, seorang penganut Syiah.

Sementara itu, beberapa portal lain seperti Agendadaily, KLxpress dan portal wakil rakyat BN, BNBBC dikatakan akan beroperasi dalam saiz yang lebih kecil dengan didanai langsung beberapa pemimpin Umno.

“Setakat ini kesemua portal itu masih beroperasi, cuma tak pasti sampai bila, ada beberapa penulis dan operator sudah meninggalkan mereka, yang lain masih berjalan,” kata sumber daripada Unit Media Baru Umno kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, dua portal lain, Malaysian Gazette dan MySuara masih lagi beroperasi seperti biasa. The Malaysian Insight difahamkan dua portal ini beroperasi lebih sebagai bilik berita dengan barisan editorial yang relatifnya lebih bebas berbanding yang seangkatan dengannya.

Wartawan kedua-dua portal ini dilihat masih aktif membuat liputan manakala laman web mereka masih dikemas kini secara konsisten sehingga hari ini, lebih sebulan selepas pilihan raya umum yang menumbangkan Umno dan BN.

MySuara juga terlibat dalam bidang penyiaran melalui televisyen dan radio atas talian.

Walaupun mencurahkan dana yang banyak kepada portal berita dan blogger, Umno dan BN tidak berjaya membentuk persepsi yang baik dalam kalangan pengundi, seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya umum lebih sebulan lalu. – 18 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • perubahan perlu dilaksanakan oleh sesebuah parti pertubuhan demi kelansungan rakyat & negara. Diharap amalan politik sihat & matang tetap menjadi keutamaan kpd mana2 parti politik agar dapat melahirkan generasi yang berintegrasi..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Tuan dh kalah macai2 terpaksa disembelih

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan