CALON presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berikrar kalau menang pilihan raya pada 1 Julai ini, beliau akan mendapatkan pandangan rakyat sebelum menentukan perlu atau tidak disiapkan lapangan terbang bernilai AS$13 bilion yang sedang dalam pembinaan di luar Mexico City, lapor Reuters.
Lapangan terbang yang dimulakan oleh Presiden Enrique Pena Nieto dijadual siap separuh pada hujung tahun ini.
Lopez Obrador mengkritik pembinaannya dengan mendakwa kosnya terlalu mahal dan terlibat dengan rasuah.
Calon pembangkang yang kini mendahului persaingan dalam semua tinjauan pendapat mencadangkan rundingan dengan rakyat dalam banyak urusan termasuk prestasinya sebagai presiden, dalam rangka reformasi penuh bakal pentadbirannya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas bagaimana rundingan awam itu hendak dibuat, termasuk soal rundingan awam mengenai lapangan terbang itu.
Menurut Lopez Obrador, kalau menang pada 1 Julai nanti, beliau mahu mengadakan pertemuan dengan Pena Neito dua hari kemudian untuk membincangkan status lapangan terbang itu.
Beliau membayangkan usahanya tersebut memerlukan persetujuan daripada bakal bekas presiden itu. – Agensi, 18 Jun, 2018.
Komen