PRESIDEN Argentina Mauricio Macri memecat dua menteri Kabinet yang bertanggungjawab ke atas isu-isu ekonomi dalam kejatuhan mata wang negara itu, menurut media pada Sabtu.
Pemecatan Menteri Tenaga, Juan Jose Aranguren dan Menteri Pengeluaran, Francisco Cabrera yang dilaporkan agensi berita Telam, menyusul dua hari selepas Gabenor Bank Pusat, Federico Sturzenegger digantikan oleh Menteri Kewangan, Luis Caputo.
Ahli ekonomi, Dante Sica yang mengambil alih tempat Cabrera, dan Javier Iguacel, seorang jurutera dijangka menggantikan tempat Arangurena yang disandang sejak 2015.
Mac lalu, Macri dipaksa mempertahankan Aranguren selepas menteri itu mengaku menyimpan kekayaan berjumlah AS$88 juta di luar negara atas alasan tidak mempercayai ekonomi dalam negara.
Berikutan krisis mata wang pada April dan Mei, Tabung Kewangan Antarabangsa mengumumkan pinjaman sebanyak RM50 bilion pada awal Jun selepas ekonomi ketiga terbesar Amerika Latin itu memohon bantuan bagi meningkatkan keyakinan pasaran.
Tekanan ke atas mata wang Argentina berterusan pada Khamis apabila nilai peso menjunam lebih daripada 6% berbanding dolar AS.
Sejak awal tahun ini, nilai peso menurun lebih daripada 30% berbanding dolar.
Memburukkan lagi keadaan, Argentina juga menghadapi masalah inflasi tahunan lebih daripada 20% dan defisit perdagangan. – AFP, 17 Jun, 2018.
Komen