Putera Kemboja, isteri cedera kemalangan kereta ketika berkempen


Putera Norodom Ranariddh dan isteri, Ouk Phalla dikejarkan ke hospital selepas sebuah teksi yang datang dari arah bertentangan merempuh konvoi beliau. – Gambar AFP, 17 Jun, 2018.

SEORANG putera Kemboja yang juga bekas perdana menteri cedera selepas terbabit dalam kemalangan di sebuah lebuh raya di barat daya negara itu hari ini, kata pihak berkuasa.

Putera Norodom Ranariddh dan isteri, Ouk Phalla dikejarkan ke hospital selepas sebuah teksi yang datang dari arah bertentangan merempuh konvoi beliau.

“Sebuah teksi yang sarat muatan merempuh konvoi itu sebelum melanggar kereta yang dinaiki putera dan isterinya,” kata pegawai dari parti politik Ranariddh kepada AFP.

Ketua Polis wilayah Preah Sihanouk, Chuon Narin mengesahkan kejadian itu tetapi tidak dapat mengesahkan kecederaan yang dialami.

Difahamkan Ranariddh, 74, sedang dalam perjalanan dari Kampot ke Preah Sihanouk sebagai sebahagian daripada kempen pilihan raya kontroversi negara itu yang dijadual berlangsung pada 29 Julai.

Parti pimpinannya, Funcinpec akan mengambil bahagian walaupun dikhabarkan pilihan raya kali ini lebih berat sebelah selepas pembangkang utama Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) diharamkan tahun lalu. – AFP, 17 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen