USAHAWAN dan selebriti televisyen popular Neelofa akan memberi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan Daim Zainuddin esok, dipercayai menyentuh soal pasaran semasa dan potensi ekonomi industri fesyen Muslimah.
Pengasas NH Prima Sdn Bhd, syarikat pengeluar tudung jenama Neelofar Hijab itu dipanggil bersama Vivy Sofinas Yusof dan Fadzarudin Shah Anuar, pengasas tudung jenama dUCk dan laman web e-dagang, Fashion Valet.
Mereka diberikan masa 30 masing-masing 30 minit dalam dua sesi berasingan.
Neelofa, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, dan Vivy dinamakan oleh majalah Forbes sebagai antara 30 tokoh penggerak Asia di bawah umur 30 tahun. Mereka disenaraikan dalam kategori peruncitan dan e-dagang.
Majlis Penasihat Kerajaan lima anggota pakar ekonomi itu diberi mandat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menasihati kerajaan antara lain bagaimana untuk menghentikan ketirisan dan pembaziran serta menjana sumber ekonomi baru.
Ia diberi mandat untuk melengkapkan kajian dan memberikan laporannya dalam masa 100 hari, dijangka berakhir pertengahan Ogos ini.
Sebuah penyelidikan pasaran Asia Tenggara tahun lalu mengunjurkan kelompok pengguna wanita Muslim yang digelar “hijabista” menjana ekonomi sehingga AS$1.9 trilion (RM7.5 trilion).
Kajian Reuters mengenai kedudukan ekonomi Islam global pula mendapati sektor gaya hidup Muslim berkembang dengan pesat pada kadasr sekali ganda berbanding ekonomi dunia secara amnya.
Laporan media juga mengunjurkan golongan kelas menengah Muslim di dunia dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda kepada hampir 1 bilion penduduk dunia, membayangkan potensi besar dalam pasaran pengguna.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga jenama antarabangsa terkenal seperti Mark & Spencer, Mango dan Zara mula menawarkan rekaan fesyen yang menepati kehendak pengguna Muslimah yang menutup aurat.
Selain Neelofa dan Vivy, majlis penasihat itu pada Isnin akan turut mendengar taklimat daripada pengarah GRV Toy Store Sdn Bhd, Mustakim Manaf, pemegang francais kedai permainan Hamleys di Malaysia dan Singapura.
Majlis juga memanggil Burhanuddin Radzi, pengasas Les Copaque Production, syarikat animasi yang menghasilkan siri kartun Upin dan Ipin; Hazimah Zainuddin, pengasas Hyrax Oil Sdn Bhd, sebuah syarikat hiliran petroelum dan Rina Abdullah, pengasas restoran di bawah Serai Group.
Pada 7 Jun lepas, majlis penasihat itu mendengar taklimat daripada lima wakil industri hiburan termasuk penyanyi Siti Nurhaliza, akitivis teater Jo Kukathas, pengkritik filem Hassan Muthalib, aktivis budaya Eddin Khoo dan bekas ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Kamil Othman. – 17 Jun, 2018.
Komen