Tujuh cedera dirempuh teksi di Red Square


Pihak berkuasa Moscow mengenal pasti pemandu tersebut sebagai seorang lelaki Kyrgystan berusia 28 tahun. – Gambar EPA/Pusat kawalan traffic Moscow, 17 Jun, 2018.

SEKURANG-kurangnya tujuh cedera apabila seorang pemandu teksi gagal mengawal kenderaannya berhampiran Red Square pada hari ketiga Piala Dunia di Rusia semalam.

Rakaman CCTV yang tular di media sosial menunjukkan teksi kuningnya membelok ke kanan ketika cuba melepasi beberapa trafik di jalan sehala.

Teksi itu memecut sebaik ia tiba di laluan pejalan kaki sejauh beberapa meter sebelum merempuh tiang lampu isyarat.

Dua pengguna jalan raya cuba berdepan dengan pemandu itu dengan membuka pintu teksi.

Pemandu itu segera melompat keluar dan melarikan diri. Rakaman video berakhir dengan pemandu itu dikejar oleh orang ramai.

Pihak berkuasa Moscow mengenal pasti pemandu tersebut sebagai seorang lelaki Kyrgystan berusia 28 tahun. Dia berjaya ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

Polis berkata punca kecederaan tujuh orang awam adalah disebabkan kegagalan pemandu itu mengawal teksinya.

Kejadian berlaku kira-kira 200 meter dari Red Square di saat Moscow sesak dengan peminat bola sepak tempatan.

ITAR-TASS dan agensi berita Rusia lain kemudian memetik jabatan kesihatan Moscow sebagai berkata lapan orang awam cedera dalam kejadian tersebut.

“Tujuh berada dalam keadaan yang memuaskan manakala seorang wanita mengalami kecederaan tahap sederhana,” seorang pegawai jabatan kesihatan Moscow dipetik berkata.

Agensi berita RIA Novosti memetik sumber berkata dua warga Mexico dan dua warga Azerbaijan cedera.

Polis menutup jalan selama sejam sebelum membukanya semula.

Sekurang-kurangnya 600,000 pelancong dijangka melawat Rusia sempena Piala Dunia.

Kejadian itu berlaku tidak lama selepas perlawanan antara Argentina dan Iceland tamat dengan mata seri 1-1. – AFP, 17 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen