Pemilihan Umno untuk lawan Pakatan, bukan lawan sesama sendiri, kata Zahid


Radzi Razak

Ahamd Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak yang pemilihan Umno kali ini adalah untuk memilih kepimpinan kukuhkan parti untuk melawan Pakatan Harapan bukannya bersengketa sesama sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2018

“JANGAN jadikan ‘menang jadi arang dan kalah menjadi abu’ sebagai tunjang pertandingan ini,” kata Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media mengulas pengumuman Tengku Razaleigh Tengku Hamzah untuk bertanding jawatan presiden Umno.

Zahid, naib presiden Umno, kini memangku tugas presiden selepas Najib Razak meletakkan jawatan tiga hari selepas Umno dan Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu. 

Bagaimanapun, beliau mengatakan tindakan Tengku Razaleigh bertanding adalah bukti pemilihan Umno terbuka dan demokratik.

Pada masa sama, beliau mengingatkan Umno supaya tidak mengulangi episod perpecahan 1987 selepas Tengku Razaleigh kalah dalam gerakannya untuk menyingkirkan Dr Mahathir Mohamad sebagai presiden parti.

Beliau juga mahukan Umno menyedari keutamaan  parti itu kini adalah menjaga ahli-ahlinya dan tidak memburu jawatan parti, kerana pada masa kini jawatan tidak lagi berguna selepas Umno kalah pilihan raya umum pertama kali sejak 61 tahun lalu.  

Tambahnya lagi, pemilihan Umno hujung bulan ini perlulah demi mencari barisan kepimpinan yang boleh mengukuhkan parti untuk mendepani Pakatan Harapan (PH) dan bukannya bertelagah merebut jawatan.

“Kita hendaklah menjadikan pertandingan ini dengan niat untuk menghadapi seteru politik di luar sana dan bukan mencipta permusuhan sesama sendiri,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Menurut Zahid, beliau “berlapang dada dan berfikiran terbuka” menerima siapa saja yang menang, asalkan Umno ada barisan kepimpinan yang kuat.

Beliau juga berharap pertandingan itu nanti tidak dijadikan pentas untuk membunuh peribadi calon sebaliknya menyeru calon-calon bertanding dengan semangat persaudaraan dalam jemaah Umno.

Selain Zahid dan Tengku Razaleigh, seorang ahli Umno Kota Raja Rahmat Azim Abdul Aziz atau lebih dikenali di media sosial sebagai Mat Umno turut menawarkan diri untuk jawatan presiden.

Pada 1987, selepas Tengku Razaleigh kalah dengan hanya 47 undi, beberapa pihak membawa isu pendaftaran Umno ke mahkamah sebagai cubaan mempertikaikan keputusan pemilihan tersebut.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebaliknya mengisytiharkan Umno sebuah pertubuhan haram dan membatalkan pendaftarannya.

Dr Mahathir dan penyokongnya kemudian menubuhkan Umno Baru manakal Tengku Razaleigh menubuhkan parti lain, Semangat 46 yang mengangkat perjuangan asal Umno semasa penubuhannya untuk melawan Malayan Union.

Selepas dua kali pilihan raya umum, termasuk membantu PAS memenangi Kelantan pada 1990, Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46 dan membawa ahli-ahli parti itu kembali ke pangkuan Umno.

Sejak itu, beliau mencuba untuk jadi presiden Umno empat kali pada 1996, 2000, 2004 dan 2009 tetapi gagal terutamanya kerana tidak dapat pencalonan yang cukup setelah Umno menetapkan syarat kuota pencalonan daripada bahagian.

Umno meminda perlembagaannya pada 2009, membuka jalan kepada pemilihan langsung oleh ahli-ahli di akar umbi. Ini adalah permilihan format baru itu yang kedua selepas yang pertama pada 2013. – 16 Jun, 2018


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen