Johari Ghani, Khaled Nordin enggan sahkan ‘satu kem’ Ku Li


Radzi Razak

Kehadiran dua bekas menteri, Khaled Nordin (kiri) dan Johari Abdul Ghani (kanan) pada sidang media pengumuman Tengku Razaleigh Hamzah bertanding presiden Umno petang tadi menimbulkan desas-desus kewujudan kem tertentu dalam pemilihan Umno hujung bulan ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Jun, 2018

DUA calon naib presiden Umno, Johari Abdul Ghani dan Khaled Nordin enggan mengesahkan sama ada mereka “satu kem” dengan Tengku Razaleigh Tengku Hamzah yang akan bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti itu hujung bulan ini.

Bekas menteri kewangan kedua dan bekas menteri besar Johor itu hadir pada sidang media menawarkan diri menerajui Umno oleh Tengku Razaleigh di kediamannya di Kuala Lumpur, petang tadi.

Menurut Johari, beliau tidak menyertai mana-mana kem setakat ini kerana Umno tidak lagi mampu untuk berpecah berikutan pertandingan sesama mereka, dalam keadaan parti itu perlu dipulihkan selepas kekalahan dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Yang paling penting kita tidak ada kem di sini, kita bertanding macam adik beradik. Siapa yang menang akan menerajui parti, yang kalah akan sokong parti. Itu asas dalam pemilihan ini,” katanya, ketika ditemui selepas sidang media Tengku Razaleigh, hari ini.

“Tapi kalau nak bertanding ini kerana nak buat kem, Umno tak mampu lagi jadi begini. No more (tidak boleh lagi).

“Umno tidak boleh lagi amalkan konsep apabila ada pertandingan, kemudian yang menang terajui parti sementara yang kalah lari daripada parti. Tak boleh,” tegas Johari, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.

Ketua Umno Bahagian Titiwangsa itu turut menjelaskan beliau hadir sebagai memenuhi jemputan Tengku Razaleigh, dan bukannya sebagai salah seorang daripada calon naib presiden yang akan bertanding.

“Ini (kediaman Tengku Razaleigh) dalam kawasan saya. Saya pun bukan ada kampung; kampun saya di sini. Hari Raya pun saya tak balik kampung sebab ini kampung saya. Jadi apabila Ku Li jemput, saya datanglah,” kata bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu.

Sementara itu, Khaled yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, enggan membuat sebarang ulasan sebaliknya berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa sehari dua lagi.

Laporan media dan desas-desus dalam Umno sebelum ini kuat mengatakan gerakan untuk mengangkat Tengku Razaleigh sebagai presiden Umno bermula di Johor, negeri dengan 26 bahagian – undi blok yang besar pada pemilihan melibatkan 191 bahagian.

Daripada 26 bahagian di Johor, hanya tiga tempat yang dikatakan masih mendukung Ahmad Zahid Hamidi untuk disahkan sebagai presiden Umno. Zahid, naib presiden parti, kini memangku tugas presiden selepas Najib Razak letak jawatan tiga hari selepas Umno dan BN kalau PRU14.

Tengku Razaleigh, 81, hari ini mengumumkan pencalonannya untuk jadi presiden Umno, sekaligus menamatkan teka-teki mengenai kedudukannya sejak sebulan lalu, selepas Umno dan Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya akan terus jaga akar umbi parti yang berasaskan perjuangan lindungi kepentingan Melayu, di samping menghormati dan menjaga kepelbagaian kaum negara ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kelab Veteran Umno Mustafa Yakub yang juga hadir pada sidang media itu berkata, beliau menyokong penuh Tengku Razaleigh sebagai presiden Umno dan menolak Zahid.

Tengku Razaleigh umpama “bomoh luar” yang boleh memulihkan Umno, katanya, sama seperti Abdul Razak Hussein menyelamatkan Umno selepas Onn Jaafar keluar parti atau ketika Dr Mahathir Mohamad diangkat untuk menggantikan Hussein Onn.

“Untuk mengubat penyakit hilang keyakinan kepada umno ini, kita perlu bomoh luar, bomoh dalam dah tak boleh pakai,” katanya, sambil menjelaskan kunci penyelesaian masalah Umno bukan pada barisan kepimpinannya yang ada sekarang.

Seorang lagi Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein baru-baru ini mengumumkan tidak bertanding sebarang jawatan sebaliknya mahu menumpukan kerja menguatkan semula Umno di Johor, kubu parti itu yang pernah kuat tetapi selepas PRU14 dikuasai oleh Pakatan Harapan.

Pencalonan bagi pemilihan Umno dibuka sehingga 5 petang esok, sebelum jawatankuasa pemilihan mengesahkan senarai calon sejurus selepas tempoh pencalonan ditutup.

Lebih kurang 150,000 ahli akar umbi Umno layak mengundi pada pemilihan kali ini, yang kedua dijalankan secara langsung sejak pemilihan pada 2013 yang mengguna pakai pindaan perlembagaan baru.

Pindaan perlembagaan itu membolehkan ahli biasa yang sudah beberapa penggal memegang jawatan di bahagian bertanding jawatan tertinggi.

Selain Tengku Razaleigh dan Zahid, Ahli Umno Bahagian Kota Raja Rahmat Azim Abdul Aziz turut mencalonkan diri. Beliau seorang usahawan dan blogger yang terkenal di Twitter dengan nama Mat Umno.

Jawatan nombor dua setakat ini bakal mempertembungkan dua calon, Ketua Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Mohamad Hassan dan Ketua Penerangan Umno Annuar Musa.

Selain Johari dan Khaled, enam lagi calon naib presiden yang mengesahkan pencalonan mereka ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan ahli-ahli Majlis Tertinggi Tajuddin Abdul Rahman, Ahmad Said, Ismail Sabri Yaakop, Shahidan Kassim dan Mahadzir Khalid. – 16 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen