PADA Sabtu, polis Turki menahan 19 orang selepas rusuhan maut tercetus ketika kempen pilihan raya seorang wakil rakyat parti pemerintah Presiden Recep Tayyip Erdogan di sebuah bandar Kurdish bersempadan dengan Syria, lapor media tempatan.
Laporan menyebut empat orang terbunuh ketika Ahli Parlimen Halil Yildiz bertemu dengan peniaga kecil di Suruc, Kawasan majoriti Kurdish pada Khamis.
Sembilan belas orang termasuk calon pro Parti Demokratik Rakyat Kurdish ditahan, kata agensi berita negara itu, Anadolu.
Ada percanggahan laporan mengenai punca pembunuhan itu, media pro kerajaan melaporkan Yildiz dan penyokongnya diserang sekumpulan orang bersenjata pisau dan kayu.
Yildiz tidak mengalami sebarang kecederaan, kata laporan itu. Identiti mangsa terbunuh belum dapat dikenal pasti.
Anadolu menyifatkan peristiwa itu sebagai serangan ke atas Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) pimpinan Erdogan dan melaporkan antara mangsa terbunuh adalah adik lelaki wakil rakyat tersebut.
Erdogan sedang berkempen untuk penggal kedua selaku presiden dan majoriti besar dalam Parlimen dalam pilihan raya umum tidak lama lagi, menyalahkan HDP dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan kerana tragedi berdarah itu. – AFP, 16 Jun, 2018
Komen