Pelajar Parkland mula jelajah AS desak reformasi akta senjata api


Pelajar Marjory Stoneman Douglas High School yang kini aktivis berpengaruh memulakan jelajah 50 perhentian melintasi 20 negeri AS mendesak perubahan akta senjata api. Sekolah itu adalah kawasan tragedi tembakan terburuk di sekolah dalam sejarah AS. – Gambar AFP, 16 Jun, 2018

PERARAKAN dan himpunan mega di Chicago menjadi titik mula jelajah reformasi senjata pada Jumaat oleh pelajar dari Parkland, Florida, tempat kejadian tembakan di sekolah terburuk dalam sejarah AS.

Pelajar yang kini jadi aktivis menjadi kuasa berpengaruh di peringkat nasional menerusi kempen “March For Our Lives” yang mendesak reformasi undang-undang senjata api susulan tragedy tembakan pada 14 Februari di Marjory Stoneman Douglas High School yang mengorbankan 17 pelajar dan kakitangan.

Kumpulan pelajar memulakan janji mereka untuk berkempen di 50 tempat jelajah bas sekolah cuti musim panas mereka melintasi lebih 20 negeri, yang bermatlamat untuk mendaftar orang muda sebagai pengundi dan menyebarkan desakan kawalan senjata api.

Mereka memilih Chicago kerana rekod buruk senjata apinya. Terdapat 950 kejadian tembakan di Bandar Midwestern dan lebih 220 pembunuhan disebabkan senjata api.

Pelajar Parkland mengatakan mereka mahu membangkitkan bukan hanya kejadian tembakan yang jadi tumpuan media, tetapi juga keganasan harian yang menyebabkan 33,000 kematian disebabkan senjata api di AS setiap tahun.

Pelajar Parkland menjadi kuasa politik berpengaruh di AS, mencetuskan kembali debat senjata api yang sejak sekian lama tidak mendapat suntikan perhatian baharu.

Aktivisme mereka mencetuskan demontrasi di seluruh dunia dan menekan syarikat korporat untuk menyokong calon dan isu yang mempunyai kaitan dengan Persatuan Senjata Api Nasional (NRA) yang sangat berpengaruh.

Mereka juga berjaya mempengaruhi wakil rakyat Florida untuk mengetatkan undang-undang senjata api, antara lainnya meningkatkan had umur beli senjata api daripada 18 kepada 21.

Tetapi di perhimpunan Chicago, pelajar Parkland tidak menonjolkan diri, sebaliknya memberi peluang kepada golongan muda bandar itu untuk berucap.

“Orang terbunuh setiap hari di Chicago dan bukannya kerana mereka ada buat salah,” kata Trevon Bosley yang kehilangan abangnya yang mati ditembak di Kawasan parkir kereta gereja di bandar itu.

Perhimpunan akhir tahun sekolah itu bertujuan membangkitkan kesedaran tentang keganasan senjata api di Chicago, bandar itu menerima baik pelajar Parkland.

Perhentian seterusnya pada Ahad akan berlaku di Kawasan pinggir bandar konservatif, Naperville yang isu kawalan senjata tidak diterima ramai. Antara perhentian dalam jadual jelajah adalah Kansas, Iowa dan Wisconsin.  – AFP, 16 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen