Mencari pemimpin muda bangsa dalam Malaysia Baru


HARI ini gerakan kepemudaan di Malaysia dirasakan semakin lesu. Hanya segelintir anak muda dalam masyarakat yang bertenaga dan beridea yang berminat dengan tugas dan tanggungjawab sebagai pembela bangsa dan pemimpin masa depan negara.

Tarikan dari segi fizikal kepada ahli politik muda yang kacak dan cantik hanya mampu mencetus minat pada peringkat awal tetapi tidak mampu disudahkan dengan tarikan kewibawaan, malah mengecewakan apabila ada kalangan tokoh muda yang dijulang-julang rupanya, kurang tenaga kepimpinan, longgar prinsip, kabur wawasan dan cetek intelektual.

Sudahnya anak muda hari ini terpaksa berpaut kepada tokoh yang sangat senior namun jauh lebih aktif dan berani memimpin arus perubahan bangsa mengalahkan anak muda.

Ini jauh berbeza dengan sejarah kepemudaan bangsa kita seawal 1940-an sehingga 1970-an, dengan ketokohan pemuda seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, Abdul Razak Hussin, Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, yang jelas mempunyai sikap yang teguh dan kuat, berwatak berani dan lantang serta punyai kekuatan intelektual masing-masing.

Mereka bukan sahaja berkhidmat kepada masyarakat seusia muda tetapi mereka sudah pun memimpin pemuda pada zamannya dan menggembleng gerakan perubahan dalam negara, sama ada gerakan kemerdekaan negara, gerakan kelangsungan kaum atau gerakan kesedaran umat pada ketika itu.

Manakala gerakan kepemudaan hari ini tidak mampu mengghairahkan minat ramai anak muda untuk sama-sama terjun dalam politik dan berjuang membela anak bangsa.

Barangkali selain masalah kewibawaan pimpinan muda politik, konotasi anak muda itu sendiri melesukan gerakan kepemudaan di Malaysia dan ini menuntut kewajaran untuk disegarkan semula watak “pemuda” dalam jiwa bangsa Malaysia itu.

Maka, atas sebab kelesuan itu, gerakan kepemudaan di Malaysia amat memerlukan rombakan semangat yang baru.

Apakah model yang baru itu? Adakah dari segi pemikirannya, wawasannya, tenaganya atau tokohnya?

Malaysia Baharu membawa amanah besar daripada rakyat. Penganalisa politik menggelar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 ini sebagai revolusi aman, penaung harapan baru dan demokrasi Asia di rantau ini.

Melalui pengamatan terhad, keputusan PRU14 baru-baru ini adalah detik bermulanya kebangkitan demokrasi Malaysia; satu bentuk demokrasi yang berasaskan nilai maruah insan, kebebasan dan keadilan yang berdasarkan tradisi kemajmukan kaum dan agama di Malaysia.

Pemuda bangsa, dengan sejumlah pengalaman, pemikiran dan tenaga, harus sedia menggalas tanggungjawab menggerak demokrasi Malaysia  dan berimaginasi semula bagaimana rupa baru gerakan kepemudaan bangsa yang inklusif dan canggih, yang bekerjasama di luar kepompong kepartian.

Ini sesuai dengan tema segar hari ini iaitu Malaysia Baharu yang merentas identiti. Ia juga harus mampu berinovasi dalam menyelesaikan cabaran-cabaran masa depan rakyat yang rumit dan membangun bangsa Malaysia yang adil, saksama, terbuka dan maju, sesegera mungkin.– 16 Jun, 2018

 * Yasir Tamizi merupakan seorang jurutera dan pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen