Cadangan satu parti dibantah PBB


Desmond Davidson

James Masing mencadangkan parti PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan PRS dibubarkan.– Gambar Youtube, 16 Jun, 2018 

CADANGAN Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing bagi empat bekas parti Barisan Nasional untuk membentuk sebuah parti berbilang kaum dibantah oleh timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Awang Tengah Ali Hasaan, menurut sumber terdekat dengan BN. 

Cadangan itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis BN negeri pada Selasa, di mana parti itu memutuskan untuk meninggalkan pakatan yang disertai mereka sejak 45 tahun. 

James Masing mencadangkan parti  –  PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan PRS  – dibubarkan. 

“Cadangan untuk sebuah parti berbilang kaum dibincangkan dan PBB, terutamanya Awang Tengah, tidak bersetuju,” kata sumber berkenaan kepada The Malaysian Insight. 

PBB merupakan kumpulan politik terbesar di Sarawak dan Awang Tengah merupakan timbalan presiden parti sayap Bumiputera itu, yang disertai Melayu dan Melanau. 

Selepas mengumumkan mereka keluar daripada BN, empat parti mengumumkan pembentukan Gabungan Parti Sarawak, atau Pakatan Parti Sarawak. Mereka kemudian menjemput satu lagi bekas parti pro BN, Parti Rakyat Bersatu (UPP), untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan itu.

Wakil PBB lain pada mesyuarat itu adalah ketua menteri yang juga presiden parti Abang Johari Abang Openg, timbalan presiden Douglas Uggah, bekas setaiusaha agung BN negeri Alexander Linggi Jugah, bekas ketua Wanita Fatimah Abdullah masih belum memberikan pandangan mereka berhubung cadangan itu, kata sumber terbabit.

“Abang Johari belum cakap apa-apa berkenaan isu itu. Begitu juga Uggah,” katanya.

Menurut sumber terbabit, Awang Tengah berkata cadangan itu ‘terlalu rumit”.

“Masing menjawab kumpulan berkenaan tiada masa dan pelepasan radikal daripada BN adalah satu keperluan.”

Sumber juga berkata, Masing melihat bahawa pemimpin PBB yang membisu itu sebagai tanda sokongan kepada bantahan Awang Tengah.

The Malaysian Insight juga difahamkan pemimpin SUPP, Dr Sim Kui Hian dan PDP, Tiong King Sing tidak menyuarakan pandangan mereka berhubung cadangan berkenaan.

Masing ketika dihubungi semalam enggan mengulas berhubung apa hasil mesyuarat berkenaan mahupun mengesahkan perbincangan mengenai cadangan itu.

Cadangan satu parti itu mengandungi memo yang dihantar Masing kepada Abang Johari sehari sebelum mesyuarat berkenaan.

Beliau nyatakan dalam memo yang viral di media sosial itu, perlu ada “metamorfosis” bekas part BN Sarawak untuk terus ke hadapan daripada pilihan raya umum sebelum ini yang menyaksikan BN kalah selepas 61 tahun di tampuk kuasa.

Kekalahan BN itu menunjukkan bahawa politik berasaskan kaum tidak lagi diterima oleh rakyat Malaysia, kata Masing dalam memo berkenaan.

Beliau juga berkata, “adalah menjadi kesilapan besar sekiranya kita tidak berubah dan maju ke hadapan terutamanya dalam gaya dan cara kita mentadbir Sarawak” walaupun hasil pilihan raya umum dan pilihan raya negeri 2016 menunjukkan “majoriti rakyat Sarawak masih bersama kita”.

Beliau berkata kepada The Malaysian Insight, kekalahan BN pada pilihan raya umum berpunca daripada Umno yang menjadi terlalu angkuh.

“Mereka memegang tampuk kuasa selama 60 tahun menyebabkan mereka membutakan masa pada masalah lain dan memekakkan telinga kepada kumpulan kecil dalam pakatan itu.

“Rakyat sudah muak dan menolak Umno, dan sebagai balasannya BN menerima padah.

Masing berkata, jika GPS tidak distruktur dengan baik, apa yang berlaku kepada BN pada pilihan raya umum mungkin akan berulang pada pilihan raya negeri 2021.

Pemimpin DAP dan Pakatan Harapan negeri Chong Chieng Jen berkata, tidak kira apa nama empat parti berkenaan, “mereka masih parti komponen lama BN Sarawak, mengamalkan dasar BN.” – 16 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen