Ketua Taliban disahkan terbunuh dalam serangan dron AS


Presiden Afghanistan Ashraf Ghani mengesahkan kematian ketua Taliban Pakistan Mulana Fazlullah dalam serangan dron AS.– Gambar Youtube, 16 Jun, 2018.

PRESIDEN Afghanistan Ashraf Ghani pada Jumaat mengesahkan ketua Taliban Pakistan Maulana Fazlullah terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat. 

Fazlullah dipercayai mengarahkan pembunuhan Malala Yousafzai pada 2012, yang menjadi simbol global untuk perjuangan hak kanak-kanak wanita ke sekolah dan memenangi hadiah Nobel Keamanan. 

Tentera AS mensasarkan Fazlullah dalam serangan anti-keganasan Khamis di timur wilayah Kunar, berhampiran sempad antara Afghanistan dan Pakistan, kata pihak tentera AS tanpa mengesahkan kematian itu. 

“Saya bercakap dengan Perdana Menteri Pakistan Nasir ul Mulk dan Ketua Staf Tentera Jeneral Qamar Javed Bajwa dan mengesahkan kematian Mullah Fazlullah,” kata Ashraf menerusi Twitter. 

Tambah Ashraf, pemimpin Pakistan memberi jaminan kepadanya bahawa serangan itu merupakan “satu langkah ke arah membina kepercayaan antara dua negara,” dan menggesa Taliban Afghanistan yang tinggal di Pakistan untuk ke meja rundingan.”

Pakistan dituduh menyokong Taliban Afghanistan sejak sekian lama da menyediakan tempat perlindungan kepada pemimpinnya yang mana dakwaan itu dinafikan oleh Islamabad. 

Pakistan bagaimanapun menuduh Afghanistan melindungi Taliban Pakistan sebagai balasan. 

Tentera Pakistan menyifatkan kematian Fazlullah sebagai satu “perkembangan positif”.– AFP, 16 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen