Harga barang keperluan asas Hari Raya tahun ini lebih murah, kata menteri


Radzi Razak

Harga barangan keperluan asas untuk Hari Raya Aidilfitri tahun ini jatuh 30% hingga 50% berbanding tahun lalu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2018.

Harga barangan keperluan asas untuk Hari Raya Aidilfitri tahun ini jatuh 30% hingga 50% berbanding tahun lalu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

Beliau berkata walaupun peratusannya tidak besar, namun ia menjadi bukti kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat membantu membina kehidupan lebih baik rakyat negara ini yang dibelenggu harga barangan keperluan yang tinggi sebelum ini. 

“Saya rasa walaupun tidak besar lagi tapi harga ayam dulu tahun lepas RM7 lebih sekarang boleh dibeli dengan RM5 lebih atau RM6 lebih. 

“Harga sayur ada yang turun sampai 50% di pasaran. Harga daging lembu mampu milik boleh dibeli dalam RM30 lebih (sekilo) tapi harga daging batang pinang memang tinggi tapi harga lain barang keperluan semasa turun 30% hingga 50%,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Dr Mahathir Mohamad di Seri Perdana hari ini. 

Salahuddin berkata kerajaan PH akan memperkenalkan mekanisme dan kawalan persekitaran bagi memastikan penawaran dan permintaan barangan keperluan asas dapat dijaga dengan baik dan tidak membebankan rakyat walaupun cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang berkadar kosong sekarang. 

“Kementerian Pertanian akan membina satu mekanisme dan membina satu persekitaran agar harga jadi lebih murah jika kita uruskan penawaran dan permintaan dengan baik.

“Saya rasa (harga barangan) bergantung pelaksanaan (SST) tapi jika kita kawal penawaran dan permintaan dan wujudkan persaingan dalam harga barang keperluan, harga akan kekal munasabah,” katanya lagi.

Bulan lalu, beberapa media melaporkan harga barangan asas seluruh negara meningkat. β€“ 15 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen