Polis Los Angelas serbu kediaman doktor dera pesakit secara seksual


Kes membabitkan George Tyndall itu yang turut membawa kepada peletakan jawatan presiden University of Southern California (USC) tertumpu kepada penderaan seksual didakwa dilakukan Tyndall pada 1990 hingga 2016. – Gambar AFP, 15 Jun, 2018.

POLIS Los Angeles menyerbu kediaman pakar sakit puan sebuah universiti terkemuka California yang dituduh melakukan penderaan seksual ke atas penuntut sejak berdekad lalu.

Kes membabitkan George Tyndall itu yang turut membawa kepada peletakan jawatan presiden University of Southern California (USC) tertumpu kepada penderaan seksual didakwa dilakukan Tyndall pada 1990 hingga 2016.

“Waran ini adalah sebahagian daripada proses siasatan. Doktor itu tidak ditahan,” kata jurucakap jabatan berkenaan, Mike Lopez sambil memberitahu, penyiasat menyoal lebih 100 individu yang tampil ke hadapan.

Menurut beliau, tiada sebarang bahan diserahkan kepada barisan pendakwa raya setakat ini walaupun akhbar Los Angeles Times melaporkan, sejumlah bahan bukti dirampas dari kediaman Tyndall dan kemudahan penyimpanan.

Siasatan Los Angeles Times mendapati, Tyndall dibenarkan untuk terus bertugas walaupun terdapat pesakit membuat aduan berhubung salah laku seksual dilakukan doktor terbabit.

Bekas pesakit dan petugas memberitahu, Tyndall hanya diberhentikan selepas seorang jururawat membuat aduan di pusat krisis mangsa rogol.

Hampir 12 aduan telah difailkan terhadap universiti berkenaan dan Tyndall manakala peguam hak asasi wanita, Gloria Alfred sebelum ini mengumumkan bahawa beliau akan menambah 23 plaintif dalam kes itu. – AFP, 15 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen