ORANG yang melakukan rasuah adalah orang tidak boleh mengawal dirinya sendiri untuk bersikap jujur sekaligus orang yang gagal dalam hidup, kata pendakwah terkemuka Indonesia, Abdullah Gymnastiar.
Sebaliknya, orang yang berjaya dalam hidup adalah mereka yang dapat mengendalikan diri dengan berlaku jujur sehingga mudah mencapai bahagia dan berjaya, kata Abdullah atau lebih terkenal dengan nama Aa Gym.
Malah menurut Aa Gym, negara yang sejahtera adalah negara mendapat berkat dan rahmat kerana pemimpin dan masyarakatnya yang jujur.
Pendakwah yang juga popular di Malaysia itu mengungkap perihal orang gagal dan orang berjaya, yang rasuah dan yang jujur, dalam khutbah Aidilfitri selepas menunaikan solat sunat hari raya fitrah di Masjid Istiqlal, di Jakarta, hari ini.
“(Orang yang rasuah) mencuri terus ke sana sini. Inilah ciri orang yang gagal dalam hidup, kalau tidak segera bertaubat. Tidak mampu mengendalikan diri,” katanya, seperti dipetik portal akhbar Kompas.
“Kita sudah saksikan orang yang tidak boleh menjaga lisannya, jatuh. Orang yang tidak boleh menjaga syahwatnya, berzina. Orang yang tidak boleh menjaga, mengendalikan keinginannya, rasuah.”
“Kita harus menjadi orang yang jujur dan terpercaya. Lebih baik dihina orang karena jujur, ketimbang kerana munafik,” katanya.
Solat sunat Aidilfitri di masjid terbesar di Asia Tenggara itu, yang boleh menampung sehingga 200,000 jemaah, disertai oleh Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla; Gabenor Jakarta, Anies Baswedan serta beberapa pemimpin politik dan hakim kanan.
Dengan mengimbau sejarah Nabi Muhammad, sosok manusia yang terkenal paling jujur, Aa Gym berkata, tiada orang yang boleh berjaya kalau tidak berlaku jujur, dan semua kehancuran “diawali dengan ketidakjujuran”.
“Yang solat banyak, yang puasa banyak, yang haji banyak, yang umrah banyak, yang sedekah banyak tapi yang menyedihkan yang jujur di negeri kita (Indonesia) masih kurang banyak,” katanya.
Aa Gym lalu menyeru umat Islam agar berjihad untuk membersihkan diri, dengan mengutamakan bukan saja kebersihan luaran tetapi yang paling mustahak bersih hati dan nurani.
Beliau menyebut bagaimana pada hari raya, ramai orang memakai baju baru dan takut baju mereka kotor, tetapi tidak pernah sedikit bimbang kalau hatinya kotor. – 15 Jun, 2018.
Komen