Isu solar sekolah di Sarawak, Kementerian Pendidikan tunggu SPRM


Radzi Razak

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata, kementerian juga menjalankan proses siasatan dalaman selepas pemberian terus kontrak bernilai RM2.5 bilion itu terdedah, awal minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2018.

KEMENTERIAN Pendidikan masih menanti hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dalam pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.

Menterinya Maszlee Malik berkata, kementerian juga menjalankan proses siasatan dalaman selepas pemberian terus kontrak bernilai RM2.5 bilion itu terdedah, awal minggu ini.

“Masih dalam siasatan SPRM. SPRM mulakan siasatan beberapa bulan yang lepas. Tunggu,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Jemaah Menteri di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Pada 11 Jun lalu, beberapa media melaporkan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan juga didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan, pada Januari tahun lepas, agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu untuk melaksanakan projek tersebut.

Menghuraikan isu tersebut, Maszlee berkata terdapat 369 sekolah di Sarawak yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan jana kuasa diesel untuk menjana elektrik.

Sebelum 2017, bekalan diesel kepada sekolah adalah daripada beberapa pembekal yang membekalkan bahan api itu secara kontrak.

Maszlee berkata mulai 1 Januari 2017, Jepak Holding Sdn Bhd, yang asalnya antara kontraktor terlibat, telah diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Disember 2019 dengan nilai “melebihi RM1 bilion” termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya, projek itu juga tidak mencapai sasaran siap 51% setakat 15 Mei lepas kerana kontraktor lewat memulakan kerja.

Sementara itu, Maszlee memaklumkan beliau akan mengadakan majlis rumah terbuka di Simpang Renggam pada 23 Jun ini sebagai terima kasih kepada pengundi yang memilihnya jadi wakil mereka di Parlimen.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada pengundi di Simpang Renggam. Simpang Renggam di hatiku. Tunggu saya untuk rumah terbuka 23 Jun ini,” katanya. – 15 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen