SEKURANG-KURANGNYA 162 maut dalam pertempuran membabitkan golongan aktivis dan pasukan pro kerajaan semalam, susulan tunjuk perasaan seluruh negara bagi membantah penindasan pemerintah.
Walaupun Managua kini hampir sunyi berikutan usaha menghentikan semua keganasan sejak 24 jam lalu, pertempuran masih berlaku di beberapa lokasi dan meragut sekurang-kurangnya empat nyawa.
Biskop Silvio Jose Baez melaporkan, seorang pembantu paderi berusia 15 tahun dari bandar kedua terbesar negara itu, Leon maut selepas peluru pasukan separa tentera menembusi dadanya.
“Tuhan menyambut kedatangannya ke syurga,” kata Biskop itu menerusi Twitter.
Beliau turut memberi amaran polis anti rusuhan melepaskan tembakan secara membabi buta di sepanjang jalan di Nindiri, sebuah bandar yang terletak 20km di tenggara Managua.
Menurut Pusat Hak Asasi Manusia Nicaragua (CENIDH), 162 kematian itu akibat perubahan sosiopolitik oleh kerajaan Presiden Daniel Ortega yang akhirnya berakhir dengan keganasan.
Pertempuran turut berlaku di Nagarote, 42km dari barat laut Managua antara pasukan bersenjata Ortega dan aktivis bersenjatakan mortar, menyebabkan sekurang-kurangnya satu kematian daripada kumpulan aktivis berkenaan. – AFP, 15 Jun, 2018.
Komen