Rakyat Malaysia sambut Aidilfitri di Kedutaan Malaysia di Jakarta


Rakyat Malaysia di Indonesia berkumpul di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia hari ini, bersilaturahim, meraikan sambutan Aidilfitri di perantauan. – Gambar AFP, 15 Jun, 2018.

RAKYAT Malaysia di Indonesia berkumpul di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia hari ini, bersilaturahim, meraikan sambutan Aidilfitri di perantauan.

Lebih 500 warga Malaysia terdiri daripada kalangan petugas kedutaan dan keluarga, pelajar serta warga Malaysia yang tidak pulang ke tanah air,  berkumpul di kedutaan bagi merayakan Aidilfitri bersama Duta Besar Malaysia di Indonesia Zahrain Mohamed Hashim dan isteri Che Mahani Ismail.

Terdahulu, mereka menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan Atase Agama Muhammad Naqzrul Azraf Mhd Nazaudin, yang turut menyampaikan khutbah raya.

Pelbagai juadah istimewa Aidilfitri dihidangkan untuk tetamu di Kedutaan Besar Malaysia, antaranya sate, rendang dan ketupat.

Sambutan Aidilfitri adalah perayaan terbesar di Indonesia, di negara yang berpopulasi lebih 260 juta penduduk dengan 85% daripadanya beragama Islam.

Namun kota Jakarta yang berpenghuni lebih 10 juta penduduk itu kini agak lengang berikutan ramai warganya “bermudik” atau pulang ke kampung bagi meraikan Hari Lebaran bersama keluarga di kampung halaman masing-masing.

Pemerintah Indonesia sebelum ini mengumumkan cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 bermula selama 10 hari, iaitu dari 11 Jun hingga 20 Jun, 2018.

Menurut laporan agensi berita Antara, Presiden Indonesia Joko Widodo turut menunaikan solat sunat hari raya dan mengadakan majlis rumah terbuka di Istana Kepresidenan Bogor, Jawa Barat. – Bernama, 15 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen