Apa lagi tinggal dengan MCA?


Ooi Choong Han

Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong yang dijangka mengambil alih pucuk pimpinan parti pada pemilihan akan datang sebelum ini berkata parti itu tidak menolak kemungkinan keluar BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2018.

DALAM 10 pengundi Cina di Semenanjung Malaysia, hanya seorang saja yang menyokong MCA.

Bayangkan.

Angka itu menggambarkan masa depan pertubuhan itu, yang pada suatu masa dulu mendakwa mewakili suara masyarakat Cina.

Analisis pilihan raya oleh badan penyelidiknya sendiri, Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap) menunjukkan, MCA yang ditubuhkan 69 tahun lalu sudah ditolak oleh kaum Cina.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, MCA kini tinggal dengan hanya sebuah kerusi di Parlimen dan dua kerusi negeri.

Parti politik bertanding 39 kerusi Parlimen pada PRU14, di semua kawasan majoriti pengundi Cina, tetapi tidak boleh menang 10% kerusi yang ditandinginya itu.

Di Cheras, dengan 83% pengundinya terdiri daripada kaum Cina, MCA hanya dapat 11% undi. Di Seputeh yang mempunyai 82% pengundi Cina, parti itu cuma meraih 10% undi.

“Di kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi Cina 80% atau lebih, terutamanya di Semenanjung Malaysia, MCA dan BN hanya dapat antara 10% hingga 14% undi,” kata laporan itu.

“Itu pun, kita terpaksa mengurangkan angka itu kerana tidak ada pengundi bukan Cina di kawasan itu yang mengundi BN. Kalau itu ditolak, undi Cina yang diperoleh hanya lebih kurang 7% atau kurang.”

Penganalisis kanan Insap Lim Wei Kean berkata keputusan PRU14 meletakkan parti pengasas awal Malaysia selepas Merdeka di persimpangan – berubah atau sedia jadi nota kaki dalam catatan sejarah tanah air.

“Ini kali pertama MCA jadi pembangkang. Ia mesti memikirkan dengan serius hala tuju parti itu. Kita tidak pernah jadi pembangkang sejak Merdeka. Apakah kita boleh bertahan, kita tidak tahu,” kata Lim.

“Kalau melihat keadaan di Pulau Pinang dan Selangor, saya tidak fikir kita sudah jadi pembangkang yang berkesan.”

Lim berkata sejauh mana MCA akan kekal relevan, bergantung kepada jalan mana yang akan dipilihnya nanti.

Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong yang dijangka mengambil alih pucuk pimpinan parti pada pemilihan akan datang, memberitahu The Malaysian Insight sebelum ini, parti itu tidak menolak kemungkinan keluar daripada BN.

Ia juga menimbangkan kemungkinan membuka keahliannya kepada kaum lain untuk menjadikannya parti berbilang kaum.

Tetapi bagi Lim, kalau MCA menerima keahlian kaum lain dan meninggalkan BN, ia hanya akan dapat sokongan jika perubahan ke atas parti itu melampaui perubahan yang bersifat kosmetik.

“Kalau kita hanya jadi sebuah parti pelbagai kaum, apa bezanya MCA dan DAP? MCA tidak akan menonjol di luar sana,” katanya.

“Apakah aspirasi dan matlamat MCA? Apakah ideologi MCA? Hanya apabila kita membezakan diri dengan lawan barulah kita boleh menonjol.”

Penganalisis Phoon Wing Keong berkata ini masanya untuk MCA kembali ke pangkal jalan, dan terus jadi sebuah parti yang mewakili pemikiran konservatif dan menjaga kepentingan perniagaan.

“Sejak penubuhannya, MCA memainkan peranan sebagai pelindung kepada peniaga Cina, dengan penekanan kepada kerjasama dan pembangunan negara. MCA boleh bangkit semula sebagai sebuah parti yang mendukung perdagangan bebas dan ekonomi yang melindungi kepentingan perniagaan,” kata Phoon.

“Masyarakat perniagaan negara ini, terutamanya perniagaan kaum Cina, boleh mendapat manfaat daripada perwakilan politik pada masa akan datang,” katanya.

Phoon berkata beliau tidak yakin membuka pintu kepada ahli bukan Cina boleh memulihkan semula parti itu.

“Ada banyak parti lain yang boleh disertai oleh orang Melayu dan India. Kenapa mereka hendak masuk MCA? Itu sebabnya parti ini harus balik ke pangkal jalan.

“Apakah nilai MCA, apakah perjuangan MCA, bagaimana MCA boleh menarik pengikutnya? Itu saja cara untuk selesaikan masalah MCA.”

Phoon berkata sejak seawal 2008 lagi, masyarakat Cina sudah menghantar isyarat menolak MCA kerana melihat parti itu gagal mempertahankan hak kaum minoriti.

Apabila ditanya apa yang masyarakat Cina akan rugi jika MCA tiada lagi, Phoon terdiam merenung dan kemudian berkata: “Hendak rugi apa lagi? Saya tidak nampak apa ruginya kalau MCA pun sudah tidak ada.”

“Dari segi politiknya, masyarakat Cina masih perlukan pembangkang yang kuat. Itu sudah pasti. Tetapi kalau MCA tidak boleh memainkan peranan tersebut, parti lain boleh melakukannya,” katanya.

“Akan ada parti yang akan mempertanggungjawabkan Pakatan Harapan. Sebuah parti pembangkang yang baru mungkin boleh melakukannya dengan lebih baik kerana mereka tidak ada sejarah lampau seperti parti-parti lama. Dengan imej yang baru, jenama yang baru, dan rekod yang bersih.

“MCA tidak boleh jadi parti pemerintah yang baik, maka itu ia ditolak.

“Jika selepas itu, MCA tidak boleh juga jadi pembangkang yang naik, maknanya ia sudah tidak lagi relevan,” katanya. – 15 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Masyarakat Cina sudah hilang kepercayaan dengan MCA... Jika benar MCA nak dapatkan sokongan rakyat.. buktikan lah bahawa MCA mampu membawa masyarakat Cina khususnya ke arah lebih baik. Jangan ibarat hanya tahu bercakap tiada tindakan..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan