JET pejuang Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh pesawat perang Syria semalam susulan tentera antarabangsa diketuai AS mendakwa ia menyerang sekutunya dalam pertempuran menentang IS di negara bergolak itu.
Insiden itu berlaku ketika perang yang masuk tahun keenam di Syria menjadi lebih sukar, dengan tentera AS dan sekutunya bergerak ke kubu IS di utara iaitu Raqa, berhampiran dengan tentera rejim yang disokong Rusia.
Tentera Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS, pakatan pejuang Arab dan Kurdis, bertempur untuk mengusir IS dari Raqa, dan memasuki kubu kuat militan itu minggu lalu.
Tentera kerajaan tidak terbabit dalam pertempuran merebut Raqa, tetapi mara di kawasan di barat bandar raya itu, mengepung pejuang SDF.
“Pesawat tentera antarabangsa menyasarkan sebuah jet pejuang kami di wilayah Resafa di selatan Raqa tengah hari ini ketika ia melaksanakan misi terhadap IS,” kata tentera.
Ia juga memberi amaran akibat buruk terhadap tindakan itu. Tentera pakatan kemudian mengesahkan ia menembak jatuh pesawat juang Syria yang dikatakan menggugurkan bom berhampiran kedudukan pejuang SDF. – AFP, 19 Jun, 2017.
Komen