JURULATIH pasukan Mesir Hector Cuper berkata bintang penyerang Mohamed Salah sudah pulih daripada kecederaan di bahunya dan kemungkinan besar akan beraksi menentang Uruguay dalam perlawanan pusingan awal pembukaan peringkat kumpulan Piala Dunia pada Jumaat.
“Kami masih perlu perhatikan bagaimana sesi latihan berjalan hari ini, tetapi saya boleh beri jaminan 100 peratus yang beliau akan bermain, kami semua sangat optimistik yang beliau akan beraksi di atas padang,” umum Cuper pada Khamis.
Jurulatih Argentina berusia 62 tahun itu menambah: “Salah adalah pemain yang baik dan dia pulih dengan cepat.”
Salah, yang mengalami kecederaan dalam perlawanan akhir Liga-liga Juara yang menyaksikan Liverpool, yang diwakilinya, menentang Real Madrid pada 26 Mei, adalah antara nama besar yang menjadi perhatian dalam Piala Dunia kali ini.
Salah adalah antara pemain hebat untuk musim ini apabila berjaya membantu Liverpool mara ke pusingan terakhir Liga Juara-juara.
Salah, 27, menyuntik semangat 100 juta penyokong bola sepak Mesir apabila menyertai sesi latihan pasukan di Grozny pada Rabu.
Impiannya untuk menyertai Piala Dunia sebelum ini lebur apabila dikasari pemain Real Madrid Sergio Ramos tiga minggu lalu. – AFP, 14 Jun, 2018.
Komen