POLIS Hong Kong berjaya menumpaskan sindiket perjudian bola sepak dan merampas wang pertaruhan bernilai HK$78 juta (AS$9.9 juta) dalam usaha membanteras kegiatan pertaruhan haram menjelang Piala Dunia.
Dalam satu operasi “Blazespike” pada malam Rabu, polis menahan 42 lelaki dan tiga wanita kerana pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan judi haram.
Mereka turut merampas wang tunai bernilai lebih HK$2.5 juta, komputer dan dadah.
“Siasatan awal mendapati mereka yang ditahan termasuk dalang dan ahli sindiket berkenaan. Ada antara mereka yang mempunyai latar belakang kongsi gelap,” kata polis dalam satu kenyataan.
“Polis percaya operasi ini berjaya menghapuskan sindiket perjudian haram.”
Dalam operasi sama di seluruh sempadan, polis China menangkap lima lagi lelaki yang dipercayai adalah sebahagian daripada sindiket perjudian sama.
Perjudian di Hong Kong adalah terhad kepada cawangan yang sah untuk pertaruhan lumba kuda, bola sepak dan loteri tempatan.
Operator perjudian haram boleh dikenakan denda maksimum sebanyak HK$5 juta dan hukuman penjara sehingga tujuh tahun sementara mereka yang menggunakan perkhidmatan tersebut boleh dikenakan denda HK$30,000 dan hukuman penjara sehingga sembilan bulan.
Meskipun berisiko dikenakan penalti yang tinggi, perjudian haram tumbuh bagai cendawan beberapa tahun kebelakangan ini. Semasa Piala Dunia 2014, polis merampas wang tunai dan slip pertaruhan bernilai HK$750 juta.
Operator perjudian haram dikatakan menawarkan kemungkinan serta syarat kredit yang lebih mudah—walaupun berdepan risiko dikasari jika gagal membayar semula hutang, kata polis. – AFP, 14 Jun, 2018.
Komen