.jpg)
SAYA berpandangan harus ada keseimbangan antara golongan salafi, modernis, progresif, tradisionalis (atau apa sahajalah) serta kumpulan-kumpulan Islam dalam kerajaan yang baharu ini.
Jika hanya ada satu jalur dominan dalam kerajaan maka akan ada ketegangan external vs internal. Biar semua jalur ada dalam kerajaan baharu maka sebarang ketegangan itu bersifat dalaman vs dalaman.
Apabila nada, tema, warna dan infrastruktur politik itu menjurus kerangka toleransi serta mahu tidak mahu nasionalistik, golongan Islam yang sudah dalam kerajaan baharu ini terpaksa bergerak memenuhi maksud kerangka tersebut.
Mereka terpaksa atau kita (yang bukan sebahagian dari puak mereka) memaksa mereka menuruti kehendak kita.
Ini adalah kerana hubungan kita dengan puak Islam yang berada dalam kerajaan baharu ini walau kita bukan ahli kini sudah menjadi pentadbir-yang ditadbir.
Pimpinan (jika pelbagai) gerakan Islam kita boleh lagi bertindak sebagai pemimpin gerakan Islam semata-mata. Mereka kini pentadbir manakala yang ditadbir pula terdiri daripada rakyat yang majmuk.
Bukanlah maksud saya sebarang gerakan Islam mahupun gerakan ideologi lainnya seumpama gerakan kekirian tidak nasionalistik (saya cuba jauhi perkataan nasionalis buat sementara waktu). Mereka pastinya sayangkan negara. Akan tetapi Malaysia sekarang ini perlukan pasukan pragmatik, berintegriti dan cekap.
Peperangan Ideologi hanya akan merencatkan perjalanan kerajaan baharu ini. Saya gunakan “peperangan” kerana saya mahukan perdebatan terus subur. Yang mahu dielakkan adalah peperangan bukannya perdebatan.
Sudah tentu ini pada fikiran saya terjadi jika kerajaan yang dibentuk, misalnya kerajaan Harapan itu bukanlah kerajaan gerakan Islam. Dan kita sedar Tun M dan Harapan itu bukanlah suatu gerakan Islam. Cumanya ada jalur politik Islam rencam yang bergabung dalam Harapan.
Saya melihat dari jauh seolah-olah hanya pergerakan Islam dalam acuan progresif (kita tidak perlulah berdebat samada progresif itu betul-betul progresif atau tradisionalis itu jumud semata-mata) yang mendapat tempat.
Mungkin kerajaan baharu pimpinan Dr Mahathir akan memberi ruang kepada pemikiran Islam aliran yang lain juga memainkan peranannya dalam Malaysia Baru ini. – 14 Jun, 2018
* Eekmal Ahmad, merupakan pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen