PEMIMPIN pembangkang Rusia Alexei Navalny berkata beliau dibebaskan dari penjara pada Khamis, hari sama Piala Dunia berlangsung di negara itu, selepas menjalani hukuman selama 30 hari kerana menganjurkan demonstrasi haram.
“Saya bersama anda semula selepas 30 hari. Saya amat gembira dibebaskan,” tulis beliau di Twitter.
Pemimpin berusia 42 tahun itu dikenakan hukuman tersebut sebulan yang lalu selepas menganjurkan demonstrasi menjelang acara pelantikan Vladimir Putin sebagai presiden untuk kali keempat.
Penyokong serta peguam Navalny berkata perbicaraan itu bermotifkan polik dan aktivis politik itu berkata haknya dicabul.
Ahli politik berkarisma itu, yang diharamkan daripada mencabar Putin dalam pilihan raya presiden pada Mac, menyeru agar rakyat Rusia menganjurkan demonstrasi di seluruh negara pada 5 Mei di bawah slogan “Not our Tsar”.
Hampir 1,600 penunjuk perasaan ditahan di 27 bandar seluruh Rusia, menurut OVD-Info, laman sesawang yang memantau penahanan aktivis.
Navalny direntap di kaki dan tangan oleh polis sejurus tiba di Pushkin Square, Moscow yang dipenuhi orang ramai.
Kesatuan Eropah mengecam “penahanan besar-besaran dan keganasan polis” dalam demonstrasi tersebut, yang menyaksikan pihak berkuasa di beberapa bandar memukul penunjuk perasaan dengan menggunakan cota dan mengheret mereka.
Navalny berdepan pelbagai dakwaan sejak menjadi tokoh pembangkang yang berkempen menentang pemerintahan Putin dalam demonstrasi pada 2011 dan 2012.
Beliau dipenjarakan tiga kali tahun lalu kerana melanggar undang-undang kerana menganjurkan demonstrasi dan perlu menerima rawatan di Sepanyol selepas salah satu daripada serangan dalam demonstrasi terbabit menyebabkan sebelah matanya hampir buta.
Ahli pasukannya turut didakwa dan penyokong muda dilaporkan ditekan di sekolah atau universiti kerana terlibat dalam kempen Navalny. – AFP, 14 Jun, 2018.
Komen